KDNK lebih 5%, inflasi turun, PM Anwar berpotensi untuk penggal kedua – Penganalisis

KDNK lebih 5%, inflasi turun, PM Anwar berpotensi untuk penggal kedua – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberikan penilaian positif atas pencapaian sepanjang tempoh pentadbirannya.

Kepimpinannya wajar diberikan peluang bagi meneruskan kepimpinannya sehingga penggal kedua jika usaha sedia ada diteruskan dan ditambah baik.

KDNK lebih 5%, inflasi turun, PM Anwar berpotensi untuk penggal kedua – Penganalisis
NUR ADILLAH OMAR

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Nur Adillah Omar berkata, berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi semasa, kerajaan ini menunjukkan prestasi yang kukuh dan sewajarnya diberikan ruang untuk meneruskan agenda pembaharuan serta kecemerlangan pada penggal seterusnya.

Katanya, antara pencapaian utama Kerajaan Madani ialah kejayaan mengekalkan kestabilan politik walaupun kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 merupakan sebuah kerajaan campuran yang menghimpunkan pelbagai parti dengan ideologi, kepentingan dan latar politik yang berbeza.

Dalam keadaan sedemikian, katanya, dibawah kepimpinan Anwar dalam mengurus hubungan antara parti-parti komponen menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kelangsungan kerajaan.

“Dari sudut ekonomi pula, Malaysia memperlihatkan daya tahan yang membanggakan meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global serta pelbagai cabaran politik di peringkat domestik.

“Pertumbuhan ekonomi yang terus positif, disertai pengawalan kadar inflasi, menunjukkan bahawa kerajaan berjaya mewujudkan asas yang relatif stabil untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Nur Adilah berkata, malah, Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026.

Katanya, angka tersebut lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya dan mengatasi unjuran median ahli ekonomi sebanyak 5.2 peratus.

“Perkembangan ini merupakan satu petunjuk positif terhadap daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Dalam masa sama, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 perstus pada Julai 2026 berbanding 1.9 peratus pada Jun,” katanya.

Jelas beliau, walaupun angka inflasi perlu dilihat bersama faktor-faktor lain seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah dan harga barangan asas, penurunan tersebut tetap merupakan perkembangan yang positif dari perspektif kestabilan harga.

Katanya, satu lagi aspek yang wajar diberikan perhatian ialah pendekatan kerajaan dalam menangani isu rasuah dan budaya penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkats, agenda membanteras apa yang sering disebut sebagai budaya “sakau” perlu dilihat bukan sekadar melalui pendedahan kes-kes berprofil tinggi, tetapi juga melalui tindakan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.

“Pendekatan ini penting bagi memberikan mesej yang jelas bahawa integriti dan akauntabiliti perlu menjadi asas dalam pentadbiran negara.

“Namun begitu, penilaian terhadap sesebuah kerajaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada angka pertumbuhan ekonomi atau kestabilan politik.

“Kerajaan Madani juga perlu terus dinilai berdasarkan keberkesanan menangani kos sara hidup, peluang pekerjaan, jurang pendapatan, kualiti perkhidmatan awam, reformasi institusi serta tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, kata beliau, prestasi Kerajaan Madani setakat ini menunjukkan beberapa pencapaian yang wajar dihargai, khususnya dari aspek kestabilan politik, ketahanan ekonomi dan usaha memperkukuh agenda antirasuah.

Jika momentum pembaharuan ini dapat diteruskan, katanya, kerajaan mempunyai asas yang kukuh untuk mempertingkatkan lagi prestasi negara dan melaksanakan reformasi yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.

“Namun, beberapa pembaharuan harus diperkenalkan selari dengan isu kekinian, serta prestasi kerajaan perlu terus dinilai dan dipantau bagi memastikan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top