mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lima pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang terbabit dengan isu kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dipindahkan ke hospital lain.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu sebagai tindakan sementara menunggu hasil siasatan dan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Berhubung tangkapan dibuat SPRM berkaitan dakwaan pegawai KKM terbabit dalam skandal kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso di Pulau Pinang, kelima-lima pegawai itu sudah diambil tindakan tahan kerja di bawah peruntukan Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkuat kuasa 17 September 2024.
“Tempoh tahan kerja selama 30 hari bagi memudah cara urusan siasatan dan tempoh tahan kerja sudah berakhir pada 16 Oktober lalu.
“Pada masa ini, pegawai terbabit kembali bertugas, namun dipindahkan ke hospital lain sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan SPRM,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau mengulas pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan diambil terhadap pegawai terbabit dan rombakan ke atas sistem pengurusan sekarang serta sama ada Jabatan Ortopedik berkenaan masih berfungsi.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, skop fungsi dan pengoperasian jabatan ortopedik di hospital terbabit diteruskan seperti biasa.
“Ia bagi menyampaikan perkhidmatan kepakaran ortopedik kepada pesakit dengan dibantu pegawai dari hospital berhampiran,” katanya.
Sebelum ini, SPRM menahan 37 individu dalam Op Tunjang membabitkan enam pegawai perubatan, 19 pemohon, sembilan ejen dan tiga runner kerana dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu kepada Perkeso.
© New Straits Times Press (M) Bhd




