KUALA LUMPUR – Penulis novel, Seri Maya tampil dengan karya terbaharu berjudul Langit Yang Terlupa yang mengetengahkan elemen penyembuhan emosi serta usaha bangkit daripada trauma masa lalu.
Seri Maya atau nama sebenarnya Hasrinawaty Mohd Hassan berkata, karya kedua beliau itu menampilkan genre romantik perlahan (slow burn romance) yang memberi kesan mendalam dari sudut emosi pembaca.
“Berbanding novel sebelum ini, naskhah terbaharu ini masih mempunyai konflik, namun lebih kepada bagaimana seseorang menemui kekuatan dan keberanian untuk keluar daripada trauma yang pernah dialami.
“Ia merupakan satu perjalanan penyembuhan emosi yang diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pembaca,” katanya ketika ditemui pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.

Lebih 70 judul buku dibawa untuk pengunjung reruai Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung di WTCKL.
Beliau berkata, Langit Yang Terlupa dihasilkan bagi memberi inspirasi kepada mereka yang berdepan trauma, kesedihan dan cabaran hidup.
“Saya mahu pembaca rasa disayangi, mempunyai kekuatan dan harapan.
“Walau apa pun ujian yang Allah SWT berikan, percayalah bahawa masih ada sesuatu yang lebih baik disimpan untuk kita pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Editor Kanan Unit Novel Grup Buku Karangkraf (GBK), Mazuen Yahaya berkata, genre thriller dan seram kekal menjadi pilihan utama pengunjung apabila mencatatkan permintaan tinggi di PBAKL tahun ini.
“Setakat dua hari ini, antara judul yang berada dalam ranking teratas ialah Rubah Putih (Ramlee Awang Murshid), Cold Case (Azmeer Shah) serta K-Lit Kleptokrasi I dan II karya Leena Syiha.
“Novel cinta turut mendapat perhatian pembaca menerusi beberapa judul baharu termasuk Langit Yang Terlupa dan Atas Lantai Bumi oleh Liza Nur,” katanya.

Mazuen menunjukkan novel yang menjadi pilihan pengunjung pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sambutan pengunjung pada tahun ini juga dilihat lebih memberangsangkan dengan peningkatan jumlah pengunjung.
“Secara keseluruhan, sasaran jualan yang ditetapkan dilihat berada pada landasan yang positif.
“Kami turut menawarkan pakej kombo buku baharu, pelbagai barangan eksklusif serta sesi bertemu penulis yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad,” katanya.

Penulis, Idora Darwina menunjukkan karyanya yang turut dipamerkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Reruai Grup Buku Karangkraf terletak di Aras 3, Dewan Tun Razak, WTCKL bermula Jumaat hingga 7 Jun ini.



