Enam termasuk penyanyi dikir barat miliki 6,000 pil kuda dijangka didakwa tahun depan

Enam termasuk penyanyi dikir barat miliki 6,000 pil kuda dijangka didakwa tahun depan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penyanyi dikir barat moden popular dan lima lagi rakyat Malaysia yang ditahan kerana didakwa memiliki 6,000 biji pil kuda di pekan Sungai Golok, 1 November lalu dijangka didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat awal tahun depan.

Sumber berkata, penyanyi berusia 29 tahun yang berasal dari Kelantan itu juga berkemungkinan dibebaskan dengan ikat jamin selepas kesnya dibicarakan di mahkamah.

Selain penyanyi itu, sumber berkata, sebahagian daripada lima mereka juga dijangka dibebaskan dengan ikat jamin termasuk dua wanita.

“Mengikut undang-undang Thailand, enam rakyat Malaysia itu akan kekal di Penjara Wilayah Narathiwat sehingga perintah penahanan lanjut hampir mencecah 84 hari dari hari mereka ditangkap pada 1 November.

“Keenam-enam mereka akan didakwa atas kesalahan ujian air kencing mereka disahkan positif dadah dan sebahagian daripada mereka didakwa kerana mengedar.

“Sebilangan kecil daripada mereka termasuk penyanyi itu, akan dibebaskan selepas membayar ikat jamin,” katanya.

Sumber itu berkata, kesimpulan itu berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh polis Thailand.

“Ini hanya berdasarkan siasatan awal polis. Masih ada masa yang mencukupi untuk polis Thailand menjalankan siasatan kerana perintah penahanan lanjut masih belum tamat.

“Mungkin terdapat lebih banyak penemuan dalam kes itu,” katanya.

Semalam media melaporkan, siasatan kes membabitkan penahanan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita di sebuah hotel di Golok hampir selesai.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapan dilaporkan berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan cap jari dan ujian kandungan dadah dalam badan sebelum menghantar laporan penuh kepada pihak pendakwa raya.

Laporan penuh akan dihantar dengan kadar segera sebaik semua keputusan diterima dan kemudian tarikh pendakwaan akan diputuskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top