am@hmetro.com.my
Maran: Lima lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dan dua pucuk pistol dirampas dalam serbuan di sekitar Bandar Pusat Jengka, dekat Maran, pada 14 November.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, empat daripada suspek adalah warga tempatan, manakala seorang lagi warga Thailand yang semuanya berusia antara 24 hingga 35 tahun.
“Ketua kumpulan ini berusia 26 tahun memiliki 14 rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah dan semua yang ditahan positif dadah jenis emphetamine.
“Hasil serbuan dan tangkapan, kita merampas lima paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin, enam paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dan dua paket lutsinar mengandungi 21 biji pil dipercayai Yaba,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Krau, dekat Temerloh, hari ini.
Katanya, turut dirampas dua pucuk pistol yang mana satu daripadanya adalah pistol angin dan satu lagi pistol tulen jenis semi auto.
Menurutnya, pistol angin itu dirampas bersama satu kelopak peluru mengandungi 19 butir bebola besi dan 97 butir bebola besi dipercayai untuk kegunaan pistol berkenaan.
“Bagi pistol tulen jenis semi auto pula, kita turut merampas satu kelopak pistol mengandungi dua butir peluru hidup.
“Pistol tulen ini sudah dikacau ganggu dengan nombor sirinya dipercayai sudah dipadamkan oleh suspek,” katanya.
Yahaya berkata kumpulan itu dipercayai mula aktif sejak awal Ogos lalu dan menjadikan kawasan sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda di Maran sebagai lokasi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




