Pelakon Diana Danielle yang tampil berbusana serba hitam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bagi perbicaraan kes rujuk dan cerai bersama Farid Kamil menjelaskan, tindakan melemparkan senyuman kepada pihak media bukanlah kerana dia berasa gembira.
Menurut pemilik nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 32, tindakan senyum adalah kerana menganggap rakan media sebagai kawan.
“Rakan-rakan media, semua macam kawan-kawan. Jadi, kita senyumlah. Ini bukan detik bahagia untuk sesiapa. Adalah urusan-urusan kerja,” katanya.
Dalam pada itu, Farid Kamil enggan mengulas lanjut berhubung proses pengesahan rujuk yang berlaku pada hari ini dan berharap agar orang ramai mendoakan yang baik-baik.
“Alhamdulillah. Doakan, ya,” ulasnya ringkas.
Bagaimanapun, pelakon filem Lagenda Budak Setan itu sempat berkongsi mengenai hubungannya dengan anak-anak.
“Dapat berjumpa seperti biasa. Tak ada masalah. Kali terakhir berjumpa, hari ini. Alhamdulillah, emosi mereka okay,” ujarnya.
Sebelum ini, Mahkamah menetapkan bahawa permohonan rujuk yang dibuat pada 31 Ogos tahun lalu adalah sah dan mengesahkan Farid dan Diana masih sah sebagai suami isteri.
Namun, Mahkamah menetapkan tarikh 2 Disember depan sebagai perbicaraan kes permohonan cerai.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sumber: Harian Metro




