MCCC sokong titah Sultan Pahang pertahan tanah negeri daripada penerokaan, pencerobohan haram

MCCC sokong titah Sultan Pahang pertahan tanah negeri daripada penerokaan, pencerobohan haram

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegaskan setiap inci tanah negeri wajib dipertahan daripada sebarang aktiviti penerokaan dan pencerobohan haram, wajib disambut serta disokong semua pihak tanpa kompromi.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, titah baginda tepat pada masanya memandangkan isu pencerobohan tanah semakin membimbangkan sehingga mencetuskan pelbagai implikasi bukan saja kepada negeri, malah rakyat.

Beliau menegaskan tanah milik kerajaan tergolong sebagai aset yang perlu dipelihara kerana setiap bentuk penerokaan tanpa kelulusan bukan hanya melanggar undang-undang, bahkan menjejaskan ‘kantung’ kewangan kerajaan negeri apabila kehilangan hasil yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan.

“Apabila tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram, negeri kehilangan hasil yang sepatutnya diperoleh menerusi cukai, premium tanah dan pelbagai bayaran lain. Kerugian ini akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.

“Sebab itu kami menyokong penuh titah Tuanku supaya setiap inci tanah negeri dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan. Khazanah negeri tidak boleh dibiarkan dieksploitasi oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Pahang bertitah bahawa setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada penerokaan dan pencerobohan haram serta menegaskan tiada mana-mana pihak boleh sewenang-wenangnya menguasai tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Mengulas lanjut, Khoo menegaskan isu berkaitan pencerobohan tanah tidak boleh dipandang enteng kerana berpotensi menjejaskan imej negeri itu, selain mengundang pelbagai kegiatan lain seperti penerokaan hutan dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.

Justeru itu, beliau menuntut kerjasama lebih bersepadu antara kerajaan negeri dengan agensi penguat kuasa untuk memperhebat operasi pemantauan di kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Katanya, tindakan segera juga perlu diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang dikesan menceroboh tanah kerajaan.

“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Sesiapa yang menceroboh tanah kerajaan perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.

“Penguatkuasaan juga tidak boleh bersifat bermusim. Ia perlu dilakukan secara berterusan supaya kegiatan pencerobohan dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan hukuman lebih berat terhadap penceroboh menerusi pindaan undang-undang. Selain itu, orang ramai juga perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Beliau berkata, hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda sehingga RM1 juta boleh dipertimbangkan bagi kesalahan serius, terutama membabitkan sindiket atau pencerobohan berskala besar.

“Hukuman lebih tegas akan memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui penerokaan tanah secara haram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top