Aniq berlatih di Aceh, persiapan hadapi Kejohanan Dunia IWF

Aniq berlatih di Aceh, persiapan hadapi Kejohanan Dunia IWF

Kuala Lumpur: Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan akan berkelana ke Aceh, Indonesia selama dua minggu bermula Jumaat ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Bahrain, Disember depan.

Aniq berkata, fokusnya pada kem latihan itu adalah mengekalkan angkatan keseluruhan yang dilakukannya sebelum ini, selain cuba mengangkat bebanan lebih tinggi seberat 300 kilogram (kg).

“Ketika ini saya rasa tiada yang perlu diasah sangat berkaitan teknik, cuma perlu mengekalkan angkatan dan naikkan lagi jumlah bebanan.

“Jadi kem latihan di Aceh ini saya akan guna semaksimum mungkin untuk capai sasaran saya iaitu 300kg,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lawannya pada kejohanan berkenaan, dia menjangkakan bertemu seteru yang sama seperti ketika beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Dia turut berharap mampu melakukan angkatan yang sempurna sekali gus memecahkan rekod kebangsaan miliknya (298kg) yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji pada September lalu.

“Sasaran utama saya adalah melakukan angkatan yang sempurna dan kalau boleh nak pecah rekod kebangsaan. Kalau dapat penamat podium itu adalah rezeki,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top