am@hmetro.com.my
Miri: Impian seorang lelaki untuk meraih keuntungan lumayan melalui pelaburan dalam talian bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM511,406 selepas terjerat dengan skim pelaburan tidak wujud.
Mangsa yang berusia awal 50-an tampil membuat laporan polis pada 30 Mei selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket yang memperdayakannya sejak Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pada mulanya mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali pada 18 Mac sebelum diperkenalkan kepada satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Menurutnya, mangsa kemudiannya melayari pautan yang diberikan suspek dan diarahkan membuat beberapa pembayaran ke akaun bank yang ditetapkan bagi tujuan pelaburan berkenaan.
“Antara 1 April hingga 24 Mei lalu, mangsa membuat 25 transaksi pembayaran ke pelbagai akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM511,406.
“Bagaimanapun, selepas wang dipindahkan, suspek terus meminta bayaran tambahan dengan alasan kononnya diperlukan bagi membolehkan mangsa menerima keuntungan pelaburan yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau pulangan seperti yang dijanjikan akhirnya menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat terutama yang diperkenalkan melalui media sosial atau aplikasi pesanan ringkas.
Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
Orang ramai juga digalakkan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan serta menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber.
© New Straits Times Press (M) Bhd




