8 maut ketika MPV elak pemeriksaan polis

8 maut ketika MPV elak pemeriksaan polis

mdroji@bh.com.my

Kuching: Perodua Alza yang terbabit nahas mengorbankan lapan orang di Kilometer 448, Jalan Betong-Sarikei-Meradong di Sarikei, semalam dipandu melawan arus selepas pemandunya didakwa cuba mengelak pemeriksaan polis.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, dalam kejadian 2.50 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) melarikan diri selepas anggota peronda polis mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

Katanya, ia datang dari arah Kuching menghala ke Sibu, dan bertindak memasuki laluan bertentangan serta melawan arus bermula dari Simpang Bulat.

“Apabila sampai di Jambatan Nyelong iaitu di Lebuhraya Pan Borneo, kenderaan terbabit bertembung dengan sebuah pikap yang dinaiki lelaki dan seorang wanita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei, hari ini.

Aswandy berkata, akibat pertembungan itu, kesemua tujuh penumpang dipercayai warga Indonesia termasuk lelaki tempatan yang memandu MPV itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu pikap pula cedera ringan, manakala penumpangnya parah dan menjalani pembedahan di Hospital Sarikei, hari ini.

“Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010 4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, semakan dibuat mendapati pemandu MPV tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tiada barang terlarang dijumpai di dalam kenderaan itu.

Menurutnya lagi, polis juga sudah menghubungi Konsulat Indonesia untuk proses pengecaman identiti tujuh penumpang maut.

“Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana mereka memasuki negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top