'Tak sampai 24 jam balik rumah, kami kembali ke PPS'

'Tak sampai 24 jam balik rumah, kami kembali ke PPS'

am@hmetro.com.my

Marang: “Tidak sampai 24 jam kami sekeluarga terpaksa datang lagi ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sivik Wakaf Tapai, selepas perkarangan rumah ditenggelami banjir sedalam 0.5 hingga satu meter,” kata Noridayu Aziz, 35, dari Kampung Bukit Perpat, di sini.

Menurutnya, hujan lebat sejak jam 2 pagi semalam mengakibatkan air Sungai Temala, melimpah dan memenuhi kawasan rumah.

Katanya, dia bersama ahli keluarga terpaksa membuat keputusan untuk berpindah awal berikutan jarak rumah dengan laluan utama sejauh satu kilometer (km).

“Saya memaklumkan kepada suami, Muhammad Ridwan Abdul Hadi, 38, mengenai kejadian, sebelum dia membawa pulang lori 10 tan untuk membantu kami sekeluarga berpindah.

“Kami baru pulang kira-kira 3 petang semalam, namun pada 12.30 tengah hari tadi terpaksa berpindah lagi,” katanya yang ditemui di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, malam tadi, mereka sekeluarga juga tidak dapat tidur lena berikutan hujan lebat selain kedudukan rumahnya kira-kira 20 meter sahaja dari sungai.

Sementara, Sapian Dollah, 58, berkata, dia turut mengambil langkah berpindah lebih awal bagi mengelak kesulitan berikutan laluan ke rumahnya sejauh lebih 700 meter ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter hingga satu meter.

“Kalau air semakin dalam mungkin menyukarkan untuk saya sekeluarga berpindah.

“Hujan lebat tidak berhenti sejak jam 2 pagi tadi mengakibatkan air sungai melimpah buat kali kedua.

“Saya tidak tahu berapa kali lagi perlu berpindah, gelombang pertama banjir ini sudah dua kali berpindah… saya rasa mungkin akan berpindah beberapa kali lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top