PH tidak hanya berjanji, manifesto dibuktikan dengan pelaksanaan – Aminuddin

PH tidak hanya berjanji, manifesto dibuktikan dengan pelaksanaan – Aminuddin

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) tidak hanya menabur janji kepada rakyat, sebaliknya membuktikan pelaksanaan manifesto yang ditawarkan sejak mentadbir Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai inisiatif yang dijanjikan sebelum ini telah dilaksanakan demi manfaat rakyat tanpa mengira kaum.

Menurutnya, antara pencapaian tersebut ialah penukaran status pegangan tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas bagi kawasan yang layak, pembinaan masjid, pembangunan sekolah agama dan pelbagai bantuan kebajikan dan pendidikan.

“Kita tidak pernah hanya berjanji. Apa yang kita janjikan dalam manifesto, kita laksanakan sejak 2018 sehingga hari ini.

“Mereka kata saya boneka DAP tetapi apabila kita memperjuangkan dasar yang memberi manfaat kepada orang Melayu, Cina dan India, semua rakyat dapat menikmati hasilnya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PH DUN Paroi di sini pada Rabu.

Hadir sama, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminuddin yang juga calon DUN Linggi berkata, manifesto PH bagi PRN kali ini turut memperluaskan manfaat kepada golongan M40 tanpa mengetepikan bantuan kepada kumpulan B40.

Katanya, bantuan warga emas akan dipertingkatkan termasuk menaikkan kadar bantuan tahunan kepada penerima berusia 70 tahun ke atas daripada RM200 kepada RM300, selain memperluaskan bantuan kepada mereka yang berumur 65 hingga 69 tahun.

“Semua tawaran ini dibuat kerana kita mahu hasil pembangunan negeri dikembalikan kepada rakyat.

“Kita tidak fikir soal kuasa sebaliknya bagaimana memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan negeri ini terus sejahtera,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi menilai rekod pentadbiran PH berdasarkan pelaksanaan yang telah dibuktikan, bukannya sekadar mendengar dakwaan pihak tertentu pada PRN ini.

 

 

Scroll to Top