Changsha, China: Seorang lelaki yang bersara pada usia 30 tahun, mampu menampung kehidupannya tanpa perlu bekerja.
Ia berikutan tindakannya membeli 14 rumah pangsa lama yang mampu menjana pendapatan sewa tahunan kira-kira 210,000 yuan (kira-kira RM128,169), lapor South China Morning Post.
Lelaki berkenaan yang berasal dari Jilin di timur laut China, Fan Junjie membelanjakan, lebih 2 juta yuan (kira-kira RM1.2 juta) untuk membeli hartanah berkenaan dalam tempoh dua tahun bermula 2023.
Dia sebelum itu berpindah ke Changsha untuk bekerja dalam bidang jualan penjagaan kesihatan internet, namun terpaksa mengharungi jadual kerja sehingga 18 jam sehari.
Fan kemudian melihat rumah flat lama di pusat bandar Changsha sebagai pelaburan berbaloi kerana sebahagiannya boleh dibeli pada harga serendah 300,000 yuan (kira-kira RM183,098) termasuk kos pengubahsuaian.
Difahamkan, daripada 14 unit yang dibelinya, sebanyak 11 kini disewakan, termasuk sebuah rumah flat berharga 150,000 yuan (kira-kira RM91,549) yang menjana sewa bulanan 1,700 yuan (kira-kira RM1,038), manakala unit paling mahal menelan kos hampir 310,000 yuan (kira-kira RM189,198) dan disewakan pada kadar 2,200 yuan (kira-kira RM1,343) sebulan.
Dia memberi tumpuan kepada hartanah berhampiran Hospital Xiangya, selain menyeragamkan kerja pengubahsuaian dan menyimpan alat ganti bagi memudahkan penyelenggaraan.
Bagaimanapun, pengalaman menguruskan hartanah sewaan ternyata tidak semudah dijangkakan apabila kos ejen, cukai, pembaikan dan urusan penyewa mengurangkan keuntungan, selain kejatuhan harga hartanah turut meletakkan modalnya dalam risiko.
Pada 26 Oktober lalu, Fan mengumumkan bahawa dia tidak akan membeli hartanah lagi kerana berpendapat tempoh terbaik untuk pelaburan itu sudah berlalu.
Sebaliknya, dia merancang mengalihkan wangnya kepada dana dividen dan saham berdividen tinggi bagi menggantikan pendapatan sewa dengan hasil pelaburan yang diterima secara berkala.
Dalam pada itu, menurutnya, dana dividen mempunyai kelebihan dari segi kecairan kerana boleh dijual dalam tempoh beberapa hari, berbanding hartanah sewaan yang mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk memperoleh penyewa dan menerima bayaran pertama.
Kisah Fan meraih lebih 200 juta tontonan di platform media sosial China, sekali gus mencerminkan peningkatan minat golongan muda terhadap pelaburan dividen bagi membina simpanan persaraan dan mencapai kebebasan kewangan.
Sementara itu, data Ant Fortune menunjukkan, individu yang lahir selepas 1995 merangkumi hampir 40 peratus pengguna dana indeks dividen pada separuh pertama tahun ini, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, penganalisis mengingatkan, dividen bukan pendapatan yang dijamin kerana pembayaran syarikat bergantung kepada keuntungan, manakala kejatuhan harga saham boleh menyebabkan nilai modal pelaburan turut merosot.
© New Straits Times Press (M) Bhd