LATEST
National

United wajar ‘tendang’ 10 pemain

United wajar ‘tendang’ 10 pemain

LONDON: Michael Carrick kini berdepan tekanan hebat, manakala sebahagian besar pemain Manchester United turut dibayangi ketidaktentuan mengenai masa depan mereka di Old Trafford.

Penyokong United meluahkan rasa tidak puas hati ketika pasukan itu terikat 4-4 dengan Aston Villa, Ahad lalu selepas pelawat mendahului 2-0 dalam tempoh lima minit pertama perlawanan.

Laungan ‘anda tidak layak menyarung jersi ini’ ditujukan kepada pemain ketika prestasi pasukan dan urusan perpindahan kelab terus menjadi persoalan.

Namun, meskipun beberapa pengurus silih berganti, masalah dalam skuad masih belum menemui penyelesaian.

Media meneliti bagaimana United boleh melaksanakan projek pembinaan semula skuad selepas ini, termasuk pemain wajar dikekalkan dan mereka yang perlu dilepaskan.

United perlu melakukan sesuatu yang hampir sama seperti tindakan Manchester City pada musim panas 2017 dengan membina semula benteng pertahanan.

Luke Shaw antara pemain yang wajar dilepaskan susulan sudah berada di Old Trafford sejak 2014, Diogo Dalot sejak 2018 dan Harry Maguire sejak 2019. Tempoh itu dianggap terlalu lama bagi ketiga-tiga pemain untuk terus kekal dalam skuad.

Lisandro Martinez pula baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang mengkritik kelab dan berdasarkan sejarah, pemain bertindak sedemikian di United lazimnya tidak mengambil masa lama untuk meninggalkan pasukan.

Matthijs de Ligt dan Mason Mount sering bergelut dengan kecederaan, namun hakikatnya kedua-duanya juga gagal meyakinkan setiap kali diberikan peluang beraksi.

Bagi Joshua Zirkzee dan Manuel Ugarte pula, prestasi kedua-duanya masih jauh daripada tahap diperlukan untuk bersaing dalam Liga Perdana Inggeris.

Bruno Fernandes adalah kes yang sukar diputuskan memandangkan kepentingannya kepada pasukan. Namun, dengan kontraknya bakal berakhir pada musim panas depan, mungkin sudah tiba masanya kedua-dua pihak mempertimbangkan cabaran baharu.

Marcus Rashford juga dilihat tidak lagi mempunyai keinginan besar untuk terus berada di Old Trafford, sekali gus menjadikan perpindahan secara tetap pilihan paling wajar.

Sementara itu, Senne Lammens antara pemain boleh dikekalkan di Old Trafford walaupun berdepan tempoh sukar kebelakangan ini, namun United tidak seharusnya hilang kepercayaan terhadap penjaga gol muda itu. Dia sudah membuktikan kualitinya musim lalu dan pada usia baru 24 tahun, masih mempunyai banyak masa untuk berkembang.

Noussair Mazraoui juga wajar dikekalkan berdasarkan versatiliti serta kemampuannya mengisi kedua-dua posisi pertahanan sayap.

Di bahagian pertahanan tengah, Ayden Heaven dan Leny Yoro yang masing-masing berusia 20 tahun memiliki potensi besar. Bagaimanapun, mereka memerlukan pemain pertahanan berpengalaman dan boleh dipercayai di sekeliling mereka bagi membantu mencapai prestasi terbaik secara konsisten.

Kobbie Mainoo seharusnya menjadi nadi kepada masa depan United, manakala rakan seposisi di bahagian tengah, Youri Tielemans, Carlos Baleba dan Andrey Santos, baru sahaja menyertai pasukan dan wajar diberikan masa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Patrick Dorgu juga antara pemain yang patut terus diberikan peluang. Pemain berusia 22 tahun itu memberikan impak positif selepas dimasukkan sebagai pemain gantian menentang Villa apabila membantu Joshua Zirkzee menjaringkan gol sebelum menanduk masuk gol penyamaan.

Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo yang hanya menyertai United pada musim panas lalu juga sepatutnya terus menjadi sebahagian daripada projek pembinaan semula skuad.

Amad Diallo memiliki kualiti tinggi serta sikap positif, manakala Shea Lacey terus membuktikan mengapa dia dianggap antara prospek paling menarik kelab menerusi sumbangannya selepas masuk sebagai pemain gantian.

Benjamin Sesko juga wajar diberikan masa untuk kembali cergas sepenuhnya kerana penyerang itu berpotensi menjadi tonggak utama jentera serangan United untuk beberapa tahun akan datang.

Kini, terpulang kepada barisan pengurusan tertinggi kelab dan individu yang dipilih untuk menggantikan Carrick, sekiranya beliau disingkirkan, bagi menentukan siapa yang perlu angkat kaki dan siapa wajar dikekalkan di Old Trafford.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news