KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengubah pendekatan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada sekadar menyediakan akses kepada pinjaman bank kepada pembiayaan berkualiti yang mampu menyokong pelaburan berproduktiviti tinggi, inovasi dan pengembangan perniagaan ke pasaran global.
Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Dr Zafer Mustafaoglu, berkata cabaran utama PKS negara ketika ini bukan lagi semata-mata mendapatkan akses kepada kredit, sebaliknya memastikan kemudahan pembiayaan yang tersedia sepadan dengan keperluan pelaburan berisiko tinggi dan berjangka panjang.
Beliau berkata, Kajian Perusahaan Bank Dunia 2024 mendapati 37.9 peratus firma di Malaysia mempunyai pinjaman bank atau kemudahan kredit, setanding dengan ekonomi berpendapatan tinggi manakala hanya tujuh peratus firma berdepan kekangan kredit sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, pelaburan produktif masih banyak bergantung kepada dana dalaman syarikat, termasuk dalam kalangan PKS paling produktif dengan akses yang sangat terhad kepada ekuiti atau bentuk modal lain yang sanggup menanggung risiko.
“Ini satu pencapaian besar yang meletakkan Malaysia dalam kalangan negara berprestasi lebih baik di peringkat global. Namun, isu sebenar adalah sama ada pembiayaan yang tersedia benar-benar memenuhi keperluan pelaburan produktif dan inovatif PKS,” katanya pada pelancaran Malaysia Economic Monitor edisi Oktober 2026 bertemakan From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Mustafaoglu berkata, antara kekangan dikenal pasti termasuk kesukaran menggunakan aset alih seperti mesin, peralatan, inventori dan penghutang sebagai cagaran, selain kesukaran institusi kewangan menilai syarikat yang tidak mempunyai rekod kredit konvensional serta kekurangan pembiayaan bagi pelaburan berisiko tinggi dan berjangka panjang.
Justeru, katanya keperluan pembiayaan PKS perlu berkembang daripada kemudahan modal kerja dan pelaburan asas kepada modal pengembangan berisiko tinggi bagi menyokong pengembangan pasaran global, automasi, pendigitalan, penerapan kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau.
Menurutnya, perubahan itu penting bagi membolehkan PKS meningkatkan produktiviti, penerapan teknologi, penciptaan harta intelek dan inovasi ketika Malaysia menghampiri status negara berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, Bank Dunia menggariskan tiga keutamaan bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan PKS, termasuk melengkapkan kerangka cagaran aset alih menerusi pelaksanaan rejim Kepentingan Sekuriti Harta Alih dan penubuhan daftar cagaran bersepadu supaya lebih banyak aset perniagaan boleh digunakan untuk mendapatkan pembiayaan.
Keutamaan kedua pula memperkukuh ketelusan dan asas data menerusi penerbitan laporan tahunan berstandard mengenai instrumen pembiayaan awam untuk PKS.
“Ia meliputi pendedahan pembiayaan, kadar harga, kerugian dan hasil yang dicapai, manakala keutamaan ketiga ialah melaksanakan projek rintis bagi instrumen berisiko lebih tinggi seperti jaminan kredit dan modal risiko sebelum diperluaskan dengan penglibatan sektor swasta dalam menanggung risiko,” katanya.
Mengulas prospek ekonomi negara, Mustafaoglu berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat pada separuh pertama 2026, didorong lonjakan eksport khususnya permintaan berkaitan AI terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain permintaan domestik yang kekal stabil.
Bagaimanapun, katanya, prospek jangka pendek masih berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik, ketegangan perdagangan dan kelembapan permintaan global yang boleh menjejaskan perdagangan serta keyakinan pelabur.
Justeru, reformasi struktur dan usaha membina semula ruang fiskal perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd