am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Pelaburan yang masuk ke Melaka pastinya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Dr Ab Rauf Yusoh berkata, syarikat yang melabur memerlukan pekerja untuk menjalankan operasi dan kerajaan negeri berperanan menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan itu.
“Pastinya pelaburan itu mencerminkan peluang pekerjaan dan tenaga kerja yang bakal dibekalkan oleh kerajaan negeri.
“Ia sekali gus membuka peluang kepada rakyat untuk dapat pekerjaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau hari ini.
Hadir sama calon BN DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Ab Rauf berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, yang mahu kemasukan pelaburan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih tinggi, terutama untuk golongan muda yang mahu membina kerjaya di negeri sendiri.
Adly dilaporkan berkata, manfaat pembangunan ekonomi perlu dilihat daripada kesannya kepada pekerja, termasuk dari segi kestabilan pendapatan dan peluang kemajuan kerjaya.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berpuas hati terhadap tahap kesiapsiagaan jentera parti di DUN Ayer Limau ketika berbaki tiga hari lagi menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
“Hari ini kita dalam pecutan untuk menuju ke pilihan raya pada hari Sabtu, dan kita lihat hari Sabtu ini adalah hari yang dinantikan oleh rakyat Melaka untuk mereka membuat pilihan.
“Saya lihat, di DUN Ayer Limau ini, kesiapsiagaan jentera dan rakyat untuk mengundi berada pada tahap yang cukup baik. Dan kita harap mereka ‘pen merah, pen biru, undi biru, i love you,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd