am@hmetro.com.my
Baca juga: Pembangkang cabar kerajaan pecat semua menteri daripada DAP
Kuala Terengganu: Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU, Datuk Razali Idris masih dikekalkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) negeri.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal ketika dihubungi mengesahkan tiada isu penamatan jawatan disentuh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mempengerusikan mesyuarat EXCO hari ini.
“Perjalanan mesyuarat EXCO selama kira-kira tiga jam tidak menyentuh langsung soal penamatan jawatan.
“Setakat ini saya masih kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri,” katanya ketika dihubungi tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Razali yang bertanding atas tiket BERSATU di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Kijal berjaya menewaskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 3,758 undi sebelum dia dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri.
Bagaimanapun Razali membuat kejutan apabila meletakkan jawatan dipegangnya sejak tahun 2016 pada Ogos lalu.
Media hari ini melaporkan, Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor ditamatkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) negeri itu berkuat kuasa, hari ini.
Mengulas lanjut, Razali yang turut melepaskan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Marang berkata, mesyuarat EXCO yang diadakan berjalan lancar dan penuh dengan kemesraan.
“Tiada isu penamatan jawatan saya sebagai EXCO dibincang dan disentuh, sebaliknya mesyuarat tertumpu kepada agenda pembangunan negeri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd