LATEST
National

Belanjawan Selangor 2027 fokus pendidikan berkualiti, TVET dan STEM

Belanjawan Selangor 2027 fokus pendidikan berkualiti, TVET dan STEM

SHAH ALAM: Usaha memperkukuh sistem sokongan pendidikan dan meningkatkan pembabitan pelajar dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara tumpuan kerajaan negeri dalam Belanjawan Selangor 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaburan dalam sektor pendidikan perlu dinilai berdasarkan impak sebenar terhadap pelajar, guru dan institusi pendidikan bukan sekadar jumlah peruntukan dibelanjakan.

Katanya, Belanjawan Pendidikan Negeri yang akan diumumkan Jumaat ini bakal memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan.

“Ia bagi memastikan setiap anak Selangor mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Usaha itu turut merangkumi pemerkasaan institusi pendidikan dan pembangunan guru menerusi peningkatan kompetensi, kemudahan serta kualiti penyampaian pendidikan.

“Selain itu kita akan memperkukuh pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi dengan menggalakkan kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri,” katanya pada Majlis Perasmian Selangor Education Summit 2026 di Setia Alam, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Johary Anuar.

Menurutnya, pada masa sama, pembangunan modal insan secara holistik perlu diberi perhatian melalui keseimbangan pencapaian akademik, kemahiran, sahsiah dan nilai kemanusiaan.

Amirudin berkata, pendekatan itu selari dengan Misi Keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi penekanan kepada pembentukan modal insan produktif dan inklusif, khususnya dalam aspek penyertaan tenaga kerja, pendidikan dan latihan.

Terdahulu, Amirudin melancarkan SPARK (Selangor Programme for Aspiring, Ready, and Knowledgeable Talents) SPARK iaitu program pemberian elaun internship RM1,500 sebulan dengan modul khas selain Program Apple Awareness Education ASEAN dan Program e-PRAKTIS Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news