LATEST

Pasya kongsi tip kekal relevan dalam industri seni

Pasya kongsi tip kekal relevan dalam industri seni

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Pasya menasihatkan artis baharu termasuk bekas peserta program realiti agar tidak cepat hanyut dengan populariti sementara atau bersikap ‘kejutan budaya’ sebaik sahaja tamat program berkenaan.

Pasya, 32, atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi berkata, perhatian luar biasa yang diterima selama beberapa bulan dalam program itu tidak menjamin kelangsungan kerjaya seni sekiranya mereka tidak mempunyai perancangan dan enggan berusaha.

“Jangan ‘balik kampung tanam jagung’. Bila masuk program realiti TV, tiga bulan kita dapat perhatian dan waktu itu rasa diri sudah gah dan diva.

“Bila habis program, mungkin sebulan kita masih panas, tetapi masuk bulan kedua atau ketiga perhatian itu makin berkurangan.

“Waktu itu jangan salahkan orang kalau orang tidak kenal, sebaliknya kita sendiri kena buat sesuatu untuk bagi orang kenal,” katanya kepada Harian Metro.

Pasya yang juga bekas peserta program Mentor musim ketujuh pada 2018 berkata, pendatang baharu tidak sepatutnya bersikap besar kepala, sebaliknya perlu merendah diri dengan menimba ilmu daripada artis-artis senior yang pernah melalui fasa pasang surut dalam industri.

“Jangan bodoh sombong. Belajarlah daripada artis yang sudah berjaya seperti Mimi Fly dan Aizat Amdan. Mereka juga lahir daripada program realiti TV, pernah senyap seketika sebelum kembali berjaya.

“Pergi jumpa dan minta nasihat apa yang mereka lakukan sewaktu fasa ‘hilang’ itu dan elakkan kesilapan yang pernah mereka buat,” katanya.

Selain inisiatif mencari lagu dan mendekati syarikat rakaman secara proaktif, Pasya turut menekankan kepentingan memiliki pasukan kerja sebagai tulang belakang kerjaya.

“Kena ada tulang belakang yang kuat iaitu pasukan kerja. Saya sendiri bergerak dengan pengurus, pembantu peribadi dan pasukan media. Apa saya dapat, mereka akan dapat juga.

“Kita kena pandai jual diri, rajin, jangan malu dan jangan hanya tunggu tawaran datang bergolek,” katanya.

Terbaharu, Pasya hadir dengan single terbaharu berjudul Tak Tertanggung Lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news