TFC 'ajar' Melaka FC di bumi Hang Tuah

TFC 'ajar' Melaka FC di bumi Hang Tuah

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah menewaskan Melaka FC 4-1 pada aksi pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2024/25 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, malam tadi.

Beraksi dengan baik pada awal babak, tuan rumah bagaimanapun gagal mengekalkan rentak terbabit selepas pelawat lebih bijak menguasai permainan untuk menekan skuad A1 Semi Pro itu.

Usaha mereka berhasil menerusi penyerang kebangsaan Safawi Rasid yang merekod gol pertama pasukannya pada minit ke-7 selepas merembat kencang menewaskan penjaga gol Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.

Akhyar Rashid membuktikan kelibatnya perlu lebih diawasi selepas dia berjaya mengelicik pertahanan Melaka dalam situasi sukar sehingga dijatuhkan sekali gus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-15 perlawanan.

Akhyar Rashid tidak menghadapi masalah untuk menyumbang gol kedua TFC selepas sepakan penaltinya menerjah kencang ke jaring Melaka.

Bersambung babak kedua, TFC terus memberi tekanan kepada Melaka dengan Akhyar bijak melebarkan jaringan peribadinya selepas menanduk masuk gol ketiga TFC pada m-54 aksi.

Stadium Hang Jebat yang sekian lama sunyi dari aksi Liga Malaysia akhirnya kembali bergema selepas Melaka membuka jaringan pertama mereka di pentas Piala Malaysia pada m-55 menerusi jaringan Fusseini Issam.

Muhammad Alif Zakaria mencipta gol keempat untuk TFC pada m-90 untuk pelawat selesa mengatasi Melaka 4-1 di bumi Hang Tuah.

Kemenangan terbabit memberi bekalan agak selesa buat skuad bimbingan Badrul Afzan Razali sebelum aksi timbal balik pada 29 November di Kuala Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top