surayaroslan@mediaprima.com.my
Bangi: Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz bagi memperkukuhkan penyelidikan dalam bidang perubatan khususnya mengenai penyakit tidak berjangkit.
Baginda bertitah, Profesor Kardiologi dan Ketua Jabatan Perubatan Molekul dan Klinikal di Universiti Dundee, United Kingdom, Dr Chim C Lang dilantik sebagai penyandang kursi itu.
“Beta yakin dengan pengalaman meluas Profesor Chim C Lang akan dapat menjadikan UKM sebagai pusat rujukan utama di rantau ini dalam aktiviti penyelidikan dan perkongsian pintar berkaitan penyakit tidak berjangkit,” titah baginda ketika Majlis Konvokesyen UKM ke-52 di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman berkata, penubuhan kerusi itu adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada Tuanku Muhriz sebagai Canselor UKM.
Katanya, pelantikan Lang sebagai penyandang kursi adalah tepat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang perubatan yang akan meningkatkan imej universiti dan negara.
“Prof Lang memainkan peranan penting dalam penyelidikan kardiovaskular.
“Beliau mengetuai pelbagai projek penyelidikan inovatif dalam bidang kardiometabolik terutamanya dalam memahami patofisiologi dan membangunkan penanda biologi.
“Beliau kini menjawat jawatan sebagai Profesor Kardiologi di Universiti Dundee di mana beliau mengetuai Perubatan Molekul dan Klinikal, serta berkhidmat sebagai Pakar Kardiologi di National Health Service (NHS) Tayside,” katanya.
Mohd Ekhwan berharap penubuhan kerusi itu dapat menguatkan jaringan industri,
memperkukuh sumbangan kepada masyarakat, serta meningkatkan kesohoran bidang perubatan terutamanya dalam menangani penyakit tidak berjangkit.
Majlis Konvokesyen UKM ke-52 bermula hari ini hingga 1 Disember di Dewan Canselor Tun Abdul Razak meraikan 4,409 graduan Ijazah Sarjana Muda, 2,549 ljazah Sarjana, 469 jazah Doktor Falsafah, 3,393 Diploma Pascasiswazah dan 190 Doktor
Naib Canselor.
Mohd Ekhwan berkata, UKM juga meraikan graduan sulung bagi dua program Diploma Pascasiswazah iaitu Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal (PDEK).
“Graduan DPLI pada tahun ini adalah seramai 3,227 orang bermula sejak
2022 dan sehingga kini kita sudah mencapai sehingga ke kohort kelima.
“Pelaksanaan DPLI dijalankan secara fleksibel membabitkan sesi dalam talian dan fizikal serta dilaksanakan sepanjang tempoh cuti sekolah.
“PDEK adalah satu-satunya program di Malaysia setakat ini dalam melatih Pegawai
Embriologi secara formal dan berstruktur, program PDEK ini diwujudkan kerana melihat kepada permohonan pasangan suami isteri untuk mendapatkan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) semakin meningkat saban tahun,” katanya.
Menurutnya, program itu diperkenalkan pada tahun lalu bagi melahirkan ahli atau pakar embriologi yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam bidang embriologi klinikal.
Majlis itu juga menyaksikan penganugerahan ljazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar Sheikh Abdul Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani yang juga adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah UKM Qatar.
Seorang lagi penerima ijazah ini adalah President of the National Assembly and Speaker of The House of Representative, Thailand, Wanmuhamadnoor Matha.
Tiga tokoh akademik UKM iaitu Dr Rahmah Ismail, Dr R Wickneswari V Ratnam, dan Datuk Ir Wan Ramli Wan Daud dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan atas jasa mereka mencipta kecemerlangan kepada UKM dan negara melalui bidang kepakaran masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




