Padah curi cincin emas selepas diminta pasang CCTV

Padah curi cincin emas selepas diminta pasang CCTV

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pekerja kedai emas diarahkan majikan supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit untuk keselamatan.

Namun siapa sangka CCTV sama yang dipasang pada 16 November turut merekod perbuatan pekerja itu mencuri cincin emas bernilai lebih RM5,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku di kedai emas di Taman Daya dan hasil semakan CCTV itu membolehkan suspek berusia 41 tahun ditahan semalam.

“Suspek didakwa mencuri sebentuk cincin emas 16.01 gram bernilai RM5,814.32 dan kemudian memajak cincin itu di sebuah kedai emas sekitar daerah ini dengan memperoleh hasil RM4,950,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, suspek ditangkap di Ulu Tiram bersama barang rampasan termasuk baju, seluar, kasut dan surat pajak gadai.

Katanya, lelaki itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top