Tokoh Muzik Legenda Ahmad Nawab Meninggal Dunia

Tokoh Muzik Legenda Ahmad Nawab Meninggal Dunia

Tokoh muzik legenda, Tan Sri Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas pada usia 92 tahun petang tadi.

Memetik laporan Harian Metro, berita ini dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

“Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan telah kembali ke Rahmatullah dirumahnya jam 3.15 petang tadi,” menurut kiriman mesej itu.

“Allahyarham adalah seorang penggubah lagu, pemain muzik serta penyanyi yang terkenal di Singapura dan Malaysia.

Allahyarham yang merupakan Seniman Negara ke-7 menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 3.15 petang tadi.

Sepanjang kariernya, maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.

Allahyarham juga pernah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun 2023.

Ahmad Nawab melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.

Sebelum ini, pada 31 Ogos lalu, adiknya, Akbar Khan, 86, dilaporkan meninggal dunia.

Scroll to Top