Kasih Ayah Yim terhadap Khayla Qistina

Kasih Ayah Yim terhadap Khayla Qistina

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Putrajaya: “Saya tak anggap dia macam anak tiri tetapi ibarat darah daging sendiri kerana terlalu sayangkannya,” kata Mohd Ibrahim Mokhtar, 36.

Lelaki itu berkongsi mengenai keakrabannya dengan anak tiri, Khayla Qistina Mohd Hafiz, 11, atau Khayla selepas kisahnya mendapat perhatian menerusi video dimuat naik di TikTok.

Video itu dikongsi isteri Mohd Ibrahim dikenali Nor, 40, yang juga ibu Khayla ketika dia melawat kanak-kanak itu di hospital dan sebak apabila melihat keadaan Khayla yang bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

Menurut Mohd Ibrahim, dia rapat dengan Khayla sebelum berkahwin dengan isterinya kira-kira tiga tahun lalu, malah dia juga seorang duda yang mempunyai anak lelaki, Mohd Izz Mikhail sebaya Khayla.

“Kiranya, saya tak ada anak perempuan dan Khayla pula manja. Disebabkan itu kami rapat sehingga jika saya marah pun dia (Khayla) tak kisah.

“Bila dapat tahu Khayla sakit, saya tak boleh tidur kerana teringatkannya tapi lega kerana berpeluang melawatnya Rabu lalu. Khayla tak tahu saya datang dan terkejut bila saya muncul di depannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro

Menurut Mohd Ibrahim, ketika ini mereka tinggal berjauhan kerana dia bekerja sebagai pemandu Felda di Jengka, Pahang, manakala isterinya dan Khayla menetap di sini.

Katanya, menjadi rutinnya untuk pulang pada setiap Jumaat dan bersama keluarga pada cuti hujung minggu.

Sementara itu, Nor berkata, Khayla dimasukkan ke Hospital Putrajaya akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan sudah dua minggu berada di wad.

Katanya dia terharu apabila suaminya prihatin dengan kebajikan anaknya dan keikhlasan ditunjukkan Mohd Ibrahim yang mendorong dia menerima lelaki itu dalam kehidupan mereka.

“Saya terpikat dengan suami dan menerima lamarannya kerana sukakan sikapnya yang mengambil berat dengan saya dengan anak terutama Khayla.

“Daripada awal perkenalan lagi, saya lihat suami rapat dengan Khayla, malah Khayla pun memanggilnya Ayah Yim. Nampak suami ikhlas sayangkan Khayla macam dia ayah kandungnya.

“Jadi saya berdoa semoga hubungan antara mereka tak putus serta terus menyayangi satu sama lain,” katanya yang memuat naik video itu di TikTok untuk dijadikan kenangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top