Hina sahabat Nabi: Nik Zawawi beri keterangan di IPD Kota Bharu

Hina sahabat Nabi: Nik Zawawi beri keterangan di IPD Kota Bharu

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini, berhubung ucapannya yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kerjasama yang baik kepadanya.

“Alhamdulillah di pagi Jumaat yang ceria hari ini, saya datang memberi kerjasama kepada pihak PDRM untuk buat laporan (keterangan) berkenaan dengan ucapan saya baru-baru ini.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada PDRM yang memberi kerjasama yang baik. Alhamdulillah ia sempurna dengan kerjasama pegawai-pegawai di IPD Kota Bharu.

“Terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan ini, mudah-mudahan perkembangan ilmiah seumpama ini memberi keinsafan kepada kita semua khususnya kepada saya supaya lebih berwaspada dengan fakta-fakta ilmiah yang ada di dalam kitab dan supaya kita mengambil pendapat yang paling kuat di dalam kitab,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, jika ambil yang lemah memang ia akan menimbulkan masalah.

“Jadi kalau kita ambil yang kuat, Insya-Allah selamat dan ia menjadi pengajaran kepada saya serta kepada kita semua dalam perkara seumpama ini.

“Mudah-mudahan semua yang berlaku ini akan memantapkan lagi perjuangan kita dan ambil pengajaran yang ada di dalamnya,” katanya.

Terdahulu, tular petikan ucapan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS itu menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.

Nik Muhammad Zawawi menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Susulan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan polis berkenaan kenyataan Nik Muhammad Zawawi dalam ucapannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top