mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya kehilangan lagi (selepas Datuk S Atan) orang yang sangat berjasa dalam hidup saya dengan kepergian Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.” kata penyanyi Datuk Jamal Abdillah.
Bercerita lanjut Jamal berkata, dua hari lalu beliau ada hubungi anak Allahyarham Ahmad Nawab, Ismail Ahmad menyatakan hasrat untuk menziarah komposer terbabit.
“Ismail kata buat masa ini abang (Jamal) jangan dulu kerana ayahnya baru keluar dari IJN (Institut Jantung Negara) kerana jangkitan paru-paru.
“Saya bercadang nak tunggu hari lain untuk pergi melawatnya. Tadi saya hubungi Ismail lagi dan diberitahu ayahnya dah tiada.
“Saya rasa ralat pasal saya patutnya nak jumpa dia semalam. Hari ini saya ada di Johor Bahru untuk satu show. Rasa sangat-sangat ralat,” katanya kepada Harian Metro.
Jamal yang menganggap Ahmad Nawab seperti abang bagaimanapun bersyukur kerana dapat membalas jasa gurunya itu apabila bekerjasama dengan JKKN (Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara) pada Julai 2022.
“Konsert Seniman Negara Datuk Seri Dr Ahmad Nawab di Istana Budaya. Waktu itu dia belum Tan Sri. Jadi saya dapat tunaikan hasrat JKKN untuk saya buat satu konsert untuk menghargai beliau.
“Saya jemput semua artis-artis di bawah didikan beliau. Dan terasa lega jugalah kerana ketika itu belum ada majlis atau konsert tertentu bagi meraikan Anugerah Seniman Negara yang diberikan kepadanya.
“Saya diminta oleh JKKN untuk menganjurkannya. Alhamdulillah… ia selesai dengan jayanya,” katanya.
Ahmad Nawab, 92, yang dikenali sebagai maestro muzik tanah air meninggal dunia di rumahnya di Taman Melewar, di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Menerusi kerjasama mereka berdua, nama Jamal melonjak naik menerusi pelbagai lagu antaranya Kabus Di Wajahmu, Kau Lupa Janji, Keluhan Perantau dan Kembalilah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



