yusri.muzamir@bh.com.my
Pix
Puchong: Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memohon supaya apa-apa pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Ini kerana, katanya, menggugurkan atau memansuhkan mana-mana Raja akan memberikan implikasi sangat besar terhadap negara dan keamanan tanah air.
“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.
“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat.
“Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.
“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel yang saya fikir juga tidak menjejaskan juga imej dan identiti Raja ditabalkan di perkarangan hotel,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka, hari ini.
Pemasyhuran itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Pemasyhuran itu bagaimanapun dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta di Negeri Sembilan.
Pada April lalu, empat undang, termasuk Datuk Mubarak Thahak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak tiada kuasa sah sebagai Undang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
“Kita sebagai Kerajaan Persekutuan, walaupun tidak terbabit secara langsung, harus memberikan nasihat (kepada Raja-Raja Melayu).
“Terutama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem raja ini bukan hanya namanya, tetapi kemuliaannya, beberapa kaedah dan peraturannya. Sebab ini kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja.
“Saya juga menyokong penuh tindakan Aminuddin yang menyatakan oleh kerana simpang siur tidak tentu arah ini, sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku Muhriz juga sudah beri perkenan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




