MYBARBER, aplikasi inovatif yang memudahkan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut kepada pelanggan secara dalam talian, optimis menjadi pilihan utama bagi pelanggan serta tukang gunting di negara ini.
Pengasas myBarber, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, visi perniagaan adalah merevolusikan proses tempahan perkhidmatan grooming tradisional.
Beliau berkata, ia membolehkan pengguna menempah khidmat potongan rambut, meneroka portfolio barber di kawasan berdekatan dan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah melalui satu aplikasi.
Katanya, myBarber yang dikuasakan oleh jenama lokal popular iaitu Todak itu berjaya merapatkan jurang antara pelanggan dan tukang gunting rambut terbaik, menawarkan kemudahan, kecekapan dan kualiti yang dapat diakses pada bila-bila masa.
“Melalui myBarber pelanggan boleh mendapat kemudahan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut dengan cepat di barbershop atau rumah.
“Pengguna juga boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai dan menariknya pembayaran lebih lancar kerana transaksi tanpa tunai terus dalam aplikasi,” katanya.
Menurutnya, melalui aplikasi terbaharu itu juga, pengguna dengan mudah boleh membuat janji temu untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut dengan keperluan penjagaan lain.
Beliau berkata, pengguna platform myBarber juga diingatkan untuk membuat tempahan seterusnya dan aplikasi ini menguruskan pelbagai tempahan dengan cekap menggunakan kalendar terbina dalam.
“Ia membabitkan analisis perniagaan iaitu akses analitik perniagaan, pemantauan kehadiran dan trend tempahan pelanggan.
“Selain itu, platform ini juga memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan (bebas) dengan menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah dan membantu meluaskan jangkauan melalui kehadiran dalam talian serta kempen pemasaran, menarik pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




