Padah ketagih 'claw machine'

Padah ketagih 'claw machine'

Hong Kong: Penggemar mesin cekau atau claw machine, Neiki Lee dilaporkan menurunkan rahang logam kren secara berhati-hati ke dalam kolam hadiah, namun permainan itu kerap terlepas daripada cengkamannya berulang kali.

Rantaian kedai yang dipenuhi mesin sepit kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di jalan-jalan dan pusat beli-belah di seluruh hab kewangan Hong Kong dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menawarkan pelbagai hadiah serta rasa kepuasan kepada pemain.

Bagaimanapun, mesin berlampu warna-warni yang sering menarik perhatian orang ramai itu kini berada di bawah penelitian pihak berkuasa selepas pegawai menyuarakan kebimbangan mengenai isu ketagihan terhadap permainan yang kelihatan tidak berbahaya itu.

Lee, 48, mengakui bahawa dia “benar-benar ketagih” dan menganggap permainan itu sebagai satu perjudian selain memaklumkan dia mempertaruhkan sekurang-kurangnya lima dolar Hong Kong (kira-kira RM3) untuk memenangi permainan yang lebih bernilai.

Wanita yang bekerja sebagai kerani pejabat itu berkata, dia membelanjakan sekitar 100,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM57,000) untuk permainan claw machine dalam tempoh dua tahun iaitu kira-kira separuh daripada gaji tahunannya.

“Untuk mendapatkan permainan bernilai 70 dolar Hong Kong (kira-kira RM40), anda mungkin akhirnya membelanjakan 700 dolar Hong Kong (kira-kira RM400) atau 1,700 dolar Hong Kong (kira-kira RM970) namun, masih belum tentu dapat menyepit,” katanya.

Dia turut mengakui ingin berhenti dan setiap hari dia menasihati dirinya supaya berhenti daripada terus bermain permainan berkenaan.

Seorang lagi pemain, Tommy Yu, 23, berkata, dia kadang kala membelanjakan beratus-ratus dolar sehari untuk permainan itu walaupun menyedari bahawa beberapa mesin mempunyai “perangkap” tersendiri.

“Apabila anda memasukkan wang tetapi tidak mendapat sebarang pulangan, anda akan rasa rugi. Namun, ia tetap mendorong anda untuk terus bermain,” katanya.

Pakar kaunseling perjudian, Chu Ho Ming memberitahu AFP bahawa semakin banyak wang dilaburkan oleh pemain, semakin sukar untuk mereka meninggalkan mesin itu dengan tangan kosong.

Katanya, fenomena itu berkait dengan konsep salah faham kos tertanam (sunk cost fallacy) iaitu kecenderungan untuk terus melabur kerana sudah banyak masa dan wang dibelanjakan.

Malah, pasukannya menyedari peningkatan golongan muda yang terbabit dalam permainan yang mempunyai elemen perjudian.

Pengendali claw machine sebelum ini bebas memperluas operasi tanpa sekatan ketat selepas mahkamah pada 2022 memutuskan bahawa mereka tidak perlu memiliki lesen hiburan awam.

Bagaimanapun, susulan peningkatan aduan awam berkaitan unsur perjudian dalam permainan claw machinesejak dua tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Hong Kong pada bulan ini mencadangkan memperketat peraturan terhadap arked berasaskan hadiah dan menyifatkan keadaan selepas keputusan mahkamah pada 2022 itu sebagai tidak ideal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top