ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Hoki Malaysia (MHL) terus mengukuhkan statusnya sebagai platform bertaraf antarabangsa apabila kelab Australia, Territory Stingers, disahkan bakal menyertai saingan musim depan dengan menghantar dua pasukan, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan pembabitan kelab itu yang akan memulakan saingan bermula 4 Januari hingga 22 Februari, dengan perancangan untuk kekal dalam liga selama tiga musim.
“Tahun lalu, kelab dari China, Liaoning Hockey Team, turut menyertai liga kita.
“Kini, kita menerima permintaan daripada kelab luar negara seperti Territory Stingers. Ini menunjukkan liga kita mempunyai standard yang menarik minat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MHC dengan pasukan antarabangsa yang akan beraksi di MHL.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Hoki Northern Territory, Jason Butcher.
Subahan berkata, kos penyertaan Territory Stingers akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab berkenaan.
Beliau menjelaskan kerjasama selama tiga tahun dengan Territory Stingers membuka peluang besar buat pemain negara.
Katanya, sekiranya kelab itu layak beraksi di Liga Hoki 1 Australia, separuh daripada barisan pemainnya bakal diisi pemain kebangsaan Malaysia.
“Mereka yakin dapat beraksi di Liga Hoki 1 Australia pada tahun depan.
“Ini peluang keemasan untuk pemain kita beraksi di liga antarabangsa dan menimba pengalaman di pentas yang lebih kompetitif,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, jurulatih Territory Stingers yang terdiri daripada bekas pemain hoki Australia akan mengadakan klinik khas untuk pemain muda di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).
© New Straits Times Press (M) Bhd



