am@hmetro.com.my
Arau: Polis menahan lelaki disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dan mencuri wang milik pembantu pustakawan di Perpustakaan Desa Padang Siding di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pasukannya pada tengah hari tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok untuk permohonan reman.
“Dalam soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatan melampau terhadap wanita berusia 37 tahun dan mencuri wang tunai milik mangsa.
“Susulan penahanannya, polis merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR, anak kunci dan topi keledar yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan turut menunjukkan dia mempunyai tujuh rekod kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, mencuri, menceroboh dan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).
“Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 380 KK atas kesalahan mencuri di dalam bangunan serta Seksyen 509 KK kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pembantu pustakawan berdepan detik cemas apabila didatangi lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di kaunter perpustakaan.
Mangsa kemudian berlari keluar dalam keadaan panik untuk meminta bantuan, namun suspek mengambil kesempatan melarikan duit miliknya berjumlah RM390.
© New Straits Times Press (M) Bhd
