Hyundai Motor labur RM2.16 bilion buka kilang di Kulim

Hyundai Motor labur RM2.16 bilion buka kilang di Kulim

dayana@mediaprima.com.my

Seoul: Hyundai Motor Company (Hyundai Motor) akan membuka kilang pengeluaran di Kulim, Kedah dengan nilai pelaburan mencecah RM2.16 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan yang besar dari Hyundai Motor itu bakal menjadikan Malaysia sebagai hab eksport kenderaannya.

“Pelaburan berjumlah RM2.16 bilion dari Hyundai Motor ini akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia mendapatkan kenderaan dikeluarkan Hyundai Motor pada harga lebih kompetitif.

“Kita ada menetapkan beberapa syarat kepada Hyundai Motor untuk menggunakan komponen domestik dalam kenderaan yang dihasilkan.

“Dengan cara ini, Hyundai Motor dapat mengeluarkan kenderaan pada harga lebih kompetitif,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan syarikat serta pertubuhan dari Korea Selatan, di sini, hari ini.

Perbincangan bersama Hyundai Motor diadakan dalam satu sesi tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul ketika ini menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri ke republik ini dari 24 hingga 26 November 2024.

Menurutnya, kilang Hyundai Motor di Kulim ini dijangka memulakan pengeluaran pada pertengahan 2025.

Katanya, ia membabitkan tujuh model kenderaan yang meliputi enjin hibrid dan enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Sebagai permulaan, mereka akan menghasilkan tujuh model kenderaan dengan keupayaan hibrid dan ICE bagi tempoh lima tahun ini.

“Namun, dalam jangka masa panjang ia juga mungkin membabitkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya menyasarkan perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Korea Selatan dapat diselesaikan sebelum April tahun depan.

Katanya, perbincangan kali keenam akan diadakan pada Januari tahun depan.

“Kita sasarkan untuk selesaikan perbincangan ini sebelum April 2025 supaya perjanjian ini dapat dimuktamadkan dan ditandatangani ketika lawatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol ke Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top