Penguatkuasaan papan tanda tidak rosakkan 'periuk nasi' peniaga

Penguatkuasaan papan tanda tidak rosakkan 'periuk nasi' peniaga

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan papan tanda yang dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis lalu, tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng berkata, terdapat komen di media sosial berhubung tindakan itu yang dikatakan merosakkan ‘periuk nasi’ peniaga di kawasan pelancongan.

“Untuk makluman, operasi papan tanda yang dijalankan pihak DBKL pada 21 November lalu banyak bertumpu di Jalan Silang atau dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ membabitkan papan tanda yang rata-ratanya mempunyai tulisan Bangladesh.

“Operasi yang dilakukan bukan sahaja membabitkan penggunaan bahasa tetapi juga dari segi pematuhan saiz serta piawaian ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lai berkata, ada papan tanda yang diambil tindakan didapati menggunakan sepenuhnya bahasa asing seperti Arab, Korea dan lain-lain.

Katanya, pihak DBKL kerap membuat penguatkuasaan di seluruh ibu negara dan operasi dijalankan tidak tertumpu kepada komuniti tertentu seperti didakwa.

“Selain di Jalan Silang, pihak DBKL juga ada buat operasi di Jalan Imbi membabitkan lima premis yang dikenakan notis sebelum ini.

“Bagi pemilik premis yang dikenakan notis, mereka boleh mengemukakan rayuan sekiranya mahu melanjutkan tempoh pembaikan atau permohonan bagi kesalahan dilakukan,” katanya.

Beliau menafikan dakwaan tindakan DBKL melaksanakan operasi itu pada Khamis lalu berikutan hantaran di media sosial daripada bekas pemimpin negara berhubung penggunaan bahasa asing pada papan tanda.

“Setiap operasi yang dilakukan sudah dirancang lama termasuk operasi pada Khamis lalu kerana ia memerlukan kerjasama daripada agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penyelarasan.

“Justeru, tohmahan yang mendakwa tindakan penguatkuasaan yang dilakukan itu menyasarkan pihak tertentu adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King memaklumkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Tiong dipetik berkata, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top