Tapah: Pasukan sukarelawan komuniti Orang Asli dari Kampung Woh di sini sedang membuat persiapan rapi bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.
Penyelaras pasukan tersebut, Chew Ho Beng berkata, seramai 22 sukarelawan daripada suku Semai berusia antara 20 sehingga 60 tahun itu kini sedang membuat persiapan termasuk menyediakan bekalan makanan dan kelengkapan diperlukan bagi operasi yang mungkin memakan masa selama lima hingga enam hari.
“Operasi akan bermula dari kampung terbabit dan lokasi tumpuan kumpulan berkenaan akan difokuskan ke sekitar laluan Kem Sukaneka serta Gunung Rayu.
“Cuma trek yang akan dilalui itu berbeza selain tidak akan terarah kepada laluan sedia ada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata kumpulan Orang Asli berkenaan akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan memfokuskan kawasan di luar laluan utama di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu bagi mengesan jejak pendaki wanita berkenaan.
Sebelum ini, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapmanpada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Sementara itu, Chew berkata kesemua sukarelawan yang terlibat mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai selok-belok hutan termasuk keupayaan mengenal pasti laluan, kesan jejak serta perubahan bentuk muka bumi yang boleh membantu operasi pencarian.
“Mereka menawarkan bantuan selepas berpendapat pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kawasan hutan berkenaan mungkin dapat membantu memperluaskan usaha pencarian mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kesembilan hari ini berdepan kekangan komunikasi yang menyukarkan penyelarasan antara pasukan di lapangan dan pusat kawalan operasi.
Katanya, pasukan SAR yang diturunkan melalui Pesawat MI-17 semalam masih berada di lokasi menjalankan operasi pencarian dan dijangka keluar tengah hari esok.
“Tiada pasukan tambahan sama ada melalui pesawat atau masuk melalui jalan darat yang masuk ke lokasi pada hari ini.
“Buat masa ini seramai 24 anggota pasukan penyelamat telah digerakkan ke beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




