LATEST

Niezam Zaidi tetap teruskan penggambaran, walau kening terkoyak

Niezam Zaidi tetap teruskan penggambaran, walau kening terkoyak

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Niezam Zaidi mendedahkan dia mengalami kecederaan di mana bahagian keningnya terkoyak ketika menjalani penggambaran filem Orang Perang sebelum ini.

Baca juga: Kompleks pengebumian purba berusia hampir 600 tahun ditemukan

Niezam atau nama sebenarnya, Mohd Niezam Mohd Zaidi, 33, berkata, meskipun mengalami kecederaan dia tetap meneruskan penggambaran hingga selesai kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi.

“Antara babak mencabar ialah ketika menjayakan penggambaran membabitkan muzium polis di mana pistol meletup dan terkena kening saya hingga terkoyak.

“Saya ingatkan peluh yang mengalir kat kening tapi rupa-rupanya darah.

“Pihak produksi juga minta saya ke hospital untuk dapatkan rawatan dan mereka sudah siapkan pengusung kerana memang ada petugas perubatan di set tapi saya menolak dan hanya letak ubat gamat sahaja pada luka berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran trailer, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di sini.

Ditanya kenapa dia teruskan penggambaran walaupun mengalami kecederaan, kata Niezam, dia tidak mahu menjejaskan kerja penggambaran yang membabitkan aspek keseluruhan produksi.

“Kalau saya ke hospital untuk dapatkan rawatan jahit luka itu, saya akan menyusahkan semua orang kerana saya mahu kekalkan ‘energy’ (tenaga) semua orang yang terbabit dalam filem itu.

“Sebab bukan saya sahaja, pelakon Ammar Alfian turut mengalami kecederaan di matanya ketika kami jayakan babak ‘fighting’ dalam filem ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Niezam, dia percaya setiap insiden yang berlaku ketika penggambaran filem itu ada hikmah di sebaliknya.

“Ketika babak ‘fighting’ bersama Ammar yang lakonkan watak antagonis, matanya menjadi merah kerana cedera.

“Tapi selepas babak ‘fighting’ itu, ada pula syot yang perlukan matanya nampak merah secara tak sengaja dan pihak produksi tidak perlu keluarkan lagi kos untuk buat syot itu.

“Apapun, saya akui dapat melupakan segala keperitan berlakon dalam filem ini selepas melihat hasilnya,” katanya.

Selain Niezam dan Ammar, filem genre epik aksi Orang Perang arahan Hashim Rejab yang menampilkan barisan pelakon seperti Syazwan Zulkifly, Josiah Hogan, Adam Corrie, Fauzi Nawawi dan ramai lagi, bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 1 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news