suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan sebanyak 10,000 pendaftaran pakej umrah dan pelancongan sepanjang tiga hari MATTA Fair September 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini, Khamis lalu sehingga hari ini.
Ia merangkumi pendaftaran yang dibuat secara fizikal di reruai Andalusia, cawangan di seluruh negara serta menerusi platform dalam talian.
Pengurus Pemasaran Andalusia, Muhammad Aiman Mohd Munir berkata sempena MATTA Fair kali ini, pihaknya menawarkan pelbagai promosi termasuk diskaun sehingga RM500 bagi pakej umrah dan sehingga RM200 untuk pakej pelancongan terpilih.
Menurutnya, diskaun RM500 bagi pakej umrah membabitkan pakej Ramadan dan musim biasa, manakala diskaun sehingga RM200 pula ditawarkan untuk pakej pelancongan berkumpulan ke luar negara serta pakej pelayaran terpilih.
“Promosi ini bukan hanya untuk pengunjung yang hadir ke MATTA Fair, malah pelanggan di seluruh Malaysia yang membuat pendaftaran di cawangan, menerusi laman web atau secara dalam talian juga boleh menikmati tawaran sama,” katanya ketika ditemui di sini.
Selain tawaran potongan harga, Muhammad Aiman berkata, antara kelainan yang diperkenalkan kali ini ialah mesin cabutan bertuah ‘Gatchapon’ khas untuk pelanggan yang membuat pendaftaran di booth Andalusia.
Katanya, antara hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai RM500, emas seberat 0.2 gram, pakej penginapan hotel serta pakej pelancongan darat ke Da Nang, Vietnam dan Turkiye.
“Pelanggan yang mendaftar di reruai juga akan menerima barangan eksklusif sebagai hadiah tambahan yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini.
“Selain itu, semua pelanggan yang membuat pendaftaran sepanjang tempoh promosi MATTA Fair, sama ada di sini, cawangan atau secara dalam talian juga layak menyertai cabutan bertuah menerusi kempen Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) sekali gus berpeluang memenangi lima kereta yang akan diadakan pada JIMBA Finale, 31 Disember 2026,” katanya.
Bagaimanapun, untuk menyertai kempen JIMBA ini, pelanggan perlu mendaftar mana-mana pakej sama ada percutian atau umrah berharga minimum RM5,000 dan ke atas.
Selain menawarkan pakej secara fizikal dan dalam talian, Andalusia turut menyediakan ‘Trip Anda’, iaitu platform digital yang membolehkan pengguna mendapatkan pakej umrah, pelancongan serta perkhidmatan syarikat itu menerusi satu aplikasi.
Muhammad Aiman berkata penyertaan syarikat itu di MATTA Fair September 2026 juga menjadi antara usaha untuk mendekati pelanggan secara lebih dekat selain memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pakej perjalanan umrah dan pelancongan yang ditawarkan.
Katanya dengan pelbagai tawaran, aktiviti, hadiah dan peluang cabutan bertuah yang disediakan, Andalusia mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke MATTA Fair September 2026.
“Inilah peluang untuk mendapatkan tawaran istimewa yang kami sediakan sempena MATTA Fair,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
