DPDDM komited perluas jaringan perniagaan usahawan

DPDDM komited perluas jaringan perniagaan usahawan

Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) kekal menjadi pemangkin penting dengan misi melebarkan jaringan perniagaan di kalangan usahawan.

Disamping giat menyediakan peluang eksklusif bagi membina rangkaian dan menjalin kerjasama yang lebih luas, DPDDM yang dilancarkan sejak tahun 2018 juga berusaha mengembangkan jumlah ahli tanpa tertumpu kepada mereka yang meraih gelaran atau pangkat semata-mata.

Pengarah Pembangunan Perniagaan DPDDM, Datuk Seri Sharizal Sarip, berkata dalam berdepan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks, pendekatan kolaboratif dianggap sebagai kunci kepada pertumbuhan mampan bagi anggotanya.

“Kami begitu komitmen untuk terus berinovasi dalam menyokong ahli melalui pelbagai program pembangunan dan inisiatif kerjasama.

“DPDDM tidak hanya berfungsi sebagai platform pembangunan perniagaan tetapi juga sebagai komuniti eksklusif yang bersedia untuk melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Usahawan yang menjadi ahli DPDDM dapat memanfaatkan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.” katanya.

Selain itu, DPDDM turut mendorong pembabitan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Yayasan Datuk-Datuk Malaysia.

Aktiviti ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada perniagaan tetapi juga memperkukuh hubungan antara ahli dan masyarakat.

Dalam majlis hi-tea yang diadakan baru-baru ini, Presiden DPDDM, Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi, menekankan usaha dewan untuk membantu ahli berkembang di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau, beberapa program yang dianjurkan pihaknya itu adalah bukti komitmen DPDDM dalam menyediakan peluang eksklusif bagi ahli untuk membina hubungan strategik.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penghormatan kepada dua tokoh penting, Tan Sri Jojo dan YM Tengku Hishamudin, yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan DPDDM.

Penganugerahan trofi kepada mereka, tokoh terpilih serta selebriti adalah simbol penghargaan dan inspirasi kepada ahli lain untuk terus menyumbang kepada kemajuan organisasi.

Sesi penyampaian watikah kepada penaja dan ahli kehormat juga diadakan, menonjolkan elemen solidariti dalam DPDDM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top