Media perlu main peranan dalam Kurikulum Persekolahan 2027

Media perlu main peranan dalam Kurikulum Persekolahan 2027

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta media memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai berhubung pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata KPM akan sentiasa menyampaikan maklumat dari masa ke semasa berhubung pelaksanaan kurikulum itu dan peranan media adalah penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat.

“Kurikulum baharu seperti diuar-uarkan adalah pada 2027 tapi sifat pelaksanaan dimulakan pada 2026 melalui pra sekolah dan tahun depan adalah penyebaran kurikulum.

“Kita memerlukan rakan media untuk memberikan persiapan kepada rakyat berdasarkan maklumat yang kita kongsikan dari masa ke semasa,” katanya semasa berucap pada majlis Temu Mesra KPM X Media, di sini hari ini.

Turut menyerikan majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan (GME) Media Prima Bhd (Media Prima), Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim; dan Pengarang Berita Kanan Berita Harian (BH), Sariha Mohd Ali.

Sebelum ini, KPM memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM akan turut memberi tumpuan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan 2025 yang disifatkan sangat penting.

Katanya, penghujung tahun ini disifatkan sangat kritikal dengan bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), awal Disember dengan kesiapsiagaan menghadapi banjir.

“Ia dijangka selesai pada Mac tahun hadapan, kita harap ia tidak mengganggu SPM dan kita doakan perkara tidak diingini tidak berlaku,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM juga akan menumpukan soal intervensi dengan menangani aspek keciciran secara bersungguh-sungguh, selain pemberian baucar buku RM100.

Sementara itu, Fadlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut menzahirkan penghargaan kepada agensi dan pengamal media yang memberikan liputan meluas sepanjang dua tahun beliau menerajui kementerian terbabit.

“KPM adalah antara kementerian yang mendapat liputan tertinggi media dengan sekitar 400 hingga 500 purata liputan mingguan.

“Liputan sehingga suku dua tahun ini adalah sebanyak 17,412 dengan akhbar yg paling banyak memberi liputan adalah Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian.

“Terima kasih rakan media yang membantu menyampaikan maklumat yang tepat dan cepat,” katanya.

Beliau turut melihat peranan media penting dalam menyampaikan agenda semasa KPM.

“Media sudah memberikan ruang yang cukup banyak kepada KPM.

“Saya turut melihat peranan pentimg media dalam menyampaikan mesej kerana anak kita melihat, membaca dan menilai.

“Ia selari dengan hasrat KPM untuk mendukung pendidikan yang berkualiti merangkumi semua lapisan masyarakat di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top