harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penipuan pelaburan menerusi media sosial TikTok mencatatkan peningkatan drastik iaitu 131 kes atau 90.7 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, berbanding 13 kes dilaporkan sepanjang 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian membabitkan platform itu sepanjang tahun ini mencecah RM6.39 juta.
Kata beliau, rekod penipuan pelaburan itu membabitkan 13 kes pada 2021, 2022 (27 kes), 2023 (59 kes) dan 131 setakat Oktober tahun ini.
“Jumlah kerugian direkodkan pada 2021 ialah RM410,000 sebelum meningkat kepada RM1.28 juta pada 2022 dan RM7.25 juta pada 2023,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan analisa, golongan wanita paling ramai menjadi mangsa iaitu 66 orang manakala lelaki pula 65 orang.
Katanya, daripada jumlah itu, kumpulan umur bermula 31 hingga 40 tahun adalah golongan paling ramai ditipu iaitu 23 peratus daripada keseluruhan mangsa, setakat Oktober.
Lain-lain kategori umur membabitkan 41 ke 50 tahun yang merekodkan 17.5 peratus, 51 ke 60 tahun (15.9 peratus), 61 ke 70 tahun (15.1 peratus) serta 7.1 peratus membabitkan 11 ke 20 tahun.
“Bagi kategori kumpulan pekerjaan, pekerja swasta adalah yang paling ramai menjadi mangsa dengan merekodkan 54.2 peratus, setakat Oktober lalu,” katanya.
Menurutnya, individu tidak bekerja adalah golongan kedua paling ramai ditipu iaitu 16.8 peratus diikuti pesara (9.9 peratus), penjawat awam (7.6 peratus), peniaga (6.9 peratus), dan pelajar (4.6 peratus).
Katanya, perkongsian data berkenaan dilakukan sebagai peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati ketika menggunakan aplikasi media sosial.
“Jadilah pengguna yang bijak dan laksanakan langkah pencegahan sewajarnya supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
“Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah dengan membuat semakan kesahihan pelaburan melalui platform ‘investment checker’ yang disediakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



