BERSATU menolak cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dengan presidennya, Muhyiddin Yassin menyifatkan ia sebagai langkah “penakut” dan tidak berasas kerana negara tidak lagi berdepan krisis kesihatan seperti ketika era Covid-19.

Tak ada sebab PRN ditangguhkan
Memetik laporan daripada Malaysiakini, cadangan oleh wakil rakyat DAP tempoh hari supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan pilihan raya tidak mempunyai justifikasi kukuh, malah didakwa lebih kepada kebimbangan politik.
“Bagi saya tak ada sebab (tangguh PRN). Kalau ini disarankan oleh wakil rakyat DAP, dia minta untuk diistyiharkan darurat untuk tujuan menangguhkan pilihan raya.
“Waktu kami (Perikatan Nasional) dulu ada darurat, tangguh pilihan raya pasal ada masalah kesihatan.
“Saya tak tahu apa sebab sekarang minta ditangguhkan. Andaian kata takut kalau ada pilihan raya sekarang dia kalah.
Kalah kerana orang sedang marah. Marah masalah minyak, diesel, kos sara hidup. Bagi saya tak ada sebab (untuk tangguh).
“Sebab kalau kerajaan dah buat keputusan untuk pilihan raya, kami dalam pembangkang PN bersedia bila-bila masa,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Silaturrahmi Aidilfiri Gombak di Gombak.

Cadangan dibuat MP DAP
Sebelum ini, cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, namun ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang menegaskan isu ekonomi bukan alasan untuk darurat.

Dalam masa sama, pembangkang di Johor dan Melaka turut menolak cadangan penangguhan tersebut dengan alasan sistem pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa.
Susulan daripada itu, Muhyiddin menyifatkan cadangan berkenaan sebagai cubaan menyalahgunakan peruntukan darurat untuk kepentingan politik.




