PSAP sedia kerjasama bongkar dalang ceroboh Tasik Bera

PSAP sedia kerjasama bongkar dalang ceroboh Tasik Bera

BERA: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membongkar dalang di sebalik pencerobohan di kawasan Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepen­tingan Antarabangsa (Ramsar) pertama negara, di sini.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pertubuhan itu melihat isu tersebut bukan sekadar melibatkan pemuliharaan alam sekitar tetapi menyentuh aspek integriti dan ketelusan dalam pengurusan tanah serta kawasan sensitif alam sekitar.

“Kerjasama dengan SPRM adalah langkah penting untuk memastikan segala bentuk salah guna kuasa, rasuah atau penglibatan pihak berkepentingan dalam pencerobohan dapat dibongkar secara telus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selama ini pun, memang PSAP ada menyalurkan maklumat kepada SPRM tentang isu pencerobohan tanah di negeri ini. Dalam isu di Tasik Bera ini, SPRM mempunyai kuasa siasatan yang menyeluruh dan PSAP sedia menjadi rakan strategik dengan me­nyalurkan maklumat serta aduan masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Haslihelmy berkata, PSAP turut menekankan bahawa isu tersebut tidak boleh dilihat sebagai masalah kecil kerana ia melibatkan kawasan Ramsar yang diiktiraf dunia sejak 1994 dan kehilangan status berkenaan memberi kesan besar kepada imej Malaysia.

Beliau berkata, pertubuhan itu menyeru agar masyarakat setempat khususnya komuniti Orang Asl tidak diperalatkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan ekonomi jangka pendek yang akhirnya merosakkan ekosistem Tasik Bera.

“Kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan SPRM akan memastikan siasatan berjalan dengan lebih menyeluruh, sekali gus menutup ruang kepada sindiket yang cuba mengambil kesempatan,” ujarnya.

Menurutnya, PSAP juga turutmenggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.

“Ini bukan sekadar soal undang-undang tetapi soal maruah negara. PSAP akan terus berdiri bersama SPRM demi memastikan Tasik Bera kekal sebagai warisan alam sekitar yang dilindungi,” tegasnya.

Baru-baru ini, akhbar ini mela­porkan bahawa Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman lain.

Pencerobohan itu dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan mereka melalui penggunaan isu tanah adat dan juga kawasan rayau etnik itu bagi membuka tanah secara haram. – UTUSAN

Scroll to Top