London: Thomas Tuchel mahu Jude Bellingham bermain dengan “sedikit kemarahan” selepas pemain tengah England itu mempamerkan sisi agresifnya ketika tewas kepada Sepanyol dalam aksi Liga Negara-Negara, semalam.
Bellingham menjadi antara tumpuan ketika skuad kendalian Tuchel tewas 2-3 kepada juara dunia itu di Wembley.
Bintang Real Madrid itu terbabit dalam pertikaman lidah dengan rakan sepasukannya di kelab, Marc Cucurella, selepas bek kiri Sepanyol berkenaan memenangi perebutan bola dengannya.
Bellingham membalas kata-kata Cucurella dengan mencipta peluang untuk Anthony Gordon menjaringkan gol England.
Walaupun sebelum ini pernah mengkritik perangai Bellingham yang mudah terbawa emosi di atas padang, pengendali England itu kini mahu pemain tengah berkenaan mengekalkan gaya agresifnya.
“Dia menyukainya. Dia menjadi lebih baik apabila perkara itu berlaku.
“Lebih baik jika dia bermain dengan sedikit kemarahan. Itu memang dirinya. Saya rasa kadangkala dia mencari detik seperti itu untuk membangkitkan semangatnya,” kata Tuchel.
Mengenai perselisihan Bellingham dengan Cucurella, Tuchel berkata: “Saya rasa dia tidak mengenali mana-mana rakan sepasukan ketika berada dalam skuad kebangsaan.
“Dia mahu menang. Dia tidak mengenali mana-mana rakan sepasukan. Dia masih berkawan dengan mereka, tetapi bukan untuk tempoh 90 minit.
“Itulah satu-satunya gaya yang dia boleh mainkan. Itulah permainannya.”
Tuchel mahu menurunkan pemain berusia 23 tahun itu dalam aksi Liga Negara-Negara menentang Czechia, Selasa ini.
Namun, pengendali dari Jerman itu bimbang Bellingham berdepan risiko keletihan melampau ketika mengharungi jadual padat bersama Real Madrid.
“Saya mahu melihatnya beraksi empat kali. Saya rasa kebimbangannya ialah dia belum melakukannya musim ini dalam tempoh jadual yang begitu padat.
“Kami perlu berbincang dengan pasukan fisioterapi. Kami tidak akan meletakkan Jude dalam sebarang risiko. Namun dari segi gaya permainan, memang begitulah caranya dia bermain.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




