LATEST

Guan Eng dakwa SPRM amal siasatan dua darjat dalam isu KLSCAH

Guan Eng dakwa SPRM amal siasatan dua darjat dalam isu KLSCAH

Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas agensi itu memanggil pembantu Hannah Yeoh bagi membantu siasatan pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa kepantasan SPRM dalam isu KLSCAH berbanding tindakan yang dilihatnya dalam isu KKDW boleh menimbulkan persepsi siasatan ‘dua darjat’. KKDW diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Adakah SPRM melancarkan siasatan segera kerana satu kementerian dipimpin oleh menteri DAP manakala satu lagi boleh dilengah-lengahkan kerana ia dipimpin oleh menteri UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada 1 Oktober, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata agensi itu belum menerima aduan rasmi dan bersedia menyiasat selepas aduan diterima. Lima hari kemudian, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan di pejabat SPRM Kuala Lumpur berhubung perbelanjaan Program Jalan Luar Bandar di bawah KKDW.Guan Eng meminta SPRM menjelaskan tindakan susulan terhadap laporan tersebut.

Berdasarkan angka yang diterbitkan Kementerian Kewangan (MOF) pada 2 September, perbelanjaan projek jalan luar bandar melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan sebanyak kira-kira RM700 juta setahun bagi 2023, 2024 dan 2025. Jumlah perbezaan bagi tiga tahun itu ialah kira-kira RM2.1 bilion. MOF turut memaklumkan peruntukan tambahan RM300 juta diluluskan pada 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Hannah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), mengesahkan tiga pegawai SPRM mengunjungi pejabatnya pada 25 November dan meminta pembantunya hadir ke SPRM pada keesokan paginya bagi membantu siasatan berhubung KLSCAH.

Ketika memberi penjelasan di Kamar Khas Dewan Rakyat pada 23 November, Hannah mempertahankan penetapan premium nominal RM1,000 bagi pajakan sehingga 99 tahun, berbanding anggaran awal RM4.67 juta. Menurutnya, kelulusan mengambil kira status warisan bangunan dan perubahan syarat kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi. Beliau turut menyenaraikan tujuh pertubuhan lain yang pernah menerima kadar premium nominal sama.

Sumber: Facebook Lim Guan Eng

Latest news