khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak lapan syarikat usaha niaga sudah menamatkan Program Social Enterprise Education Lab (SEED.Lab) yang mula diperkenalkan pada tahun 2020.
Lapan syarikat usaha niaga itu masing-masing menamatkan kohort satu dan dua yang disertai selama satu tahun selepas menyertai program SEED.Lab yang dibangunkan bersama oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Tata Consultancy Services (TCS).
Pengurus program SEED.Lab, Aidonna Jun Ayub berkata, program ini juga menerima permintaan penyertaan yang tinggi apabila setiap tahun, jumlah permohonannya meningkat.
“Sebagai contoh, untuk kohort dua yang bermula pada September 2021, kita menerima permohonan sebanyak 300 orang.
“Jumlah itu kemudian meningkat kepada 600 permohonan apabila kita mulakan kohort tiga yang bermula November 2023 lalu.
“Setiap kohort ini, kita hanya boleh menerima 50 peserta sahaja
“Dan setiap peserta ini akan berjumpa dengan pengasas bersama (syarikat mereka) atau ahli dalam program ini,” katanya menerusi satu temubual bersama media di Menara Berkembar Petronas di sini, hari ini.
Menurutnya, menerusi program SEED.Lab ini, mereka yang menyertainya akan menerima program menyeluruh daripada awal hingga akhir merangkumi peringkat idea awal sehingga aspek penyelesaian komersial.
Selain itu katanya, mereka yang menyertai juga menerima sokongan dan bantuan kewangan seperti elaun serta geran inkubasi.
“Program ini juga menghubung dan menyediakan akses kepada pemain utama ekosistem, rakan kerjasama berpotensi dan rakan kongsi penting dalam membangunkan penyelesaian.
“Di samping itu, modul yang diikuti adalah berlandaskan kepada kaedah ‘Petronas Working Backwards (PWB) sebagai pendekatan untuk inovasi dan pemikiran reka bentuk,” katanya.
Dalam pada itu, pengasas bersama Sejolly yang juga ahli terapi, Khadijah Yunos berkata, beliau menyertai program SEED.Lab selepas diberitahu oleh salah seorang kliennya semasa negara ini dilanda pandemik Covid-19.
Beliau yang menyertai program SEED.Lab kohort dua berkata, apa yang mahu dilakukannya adalah membantu keluarga yang mempunyai anak autisme dan menghidap Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD).
“Sejak menyertai SEED.Lab, kira-kira 100 keluarga yang mempunyai anak-anak autisme dan ADHD telah dibantu,” katanya yang membangunkan satu aplikasi berkait perkara itu dikenali sebagai Rootin.
Menurutnya, Rootin yang dibangunkannya semasa menyertai program SEED.Lab adalah sebuah aplikasi bagi membantu untuk melakukan intervensi awal melibatkan ahli terapi dan ibu bapa terhadap kanak-kanak yang mempunyai autisme dan ADHD.
“Jika anda ibu bapa yang bekerja, anda boleh ikut model (yang disediakan dalam aplikasi) di rumah dengan anak anda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




