Fokus perbankan, khidmat logistik

Fokus perbankan, khidmat logistik

ZON Kewangan Khas (SFZ) Forest City di sini akan memfokuskan dua sektor utama iaitu perkhidmatan perbankan dan kewangan serta perkhidmatan logistik, pusat perkhidmatan global dan perkhidmatan pemindahan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkhidmatan bagi sektor pertama itu akan disediakan di Pulau Satu, Forest City, manakala perkhidmatan sektor kedua pula dibangunkan di Kawasan Daratan, Forest City berkenaan.

“Forest City mempunyai kelebihan unik sebagai pulau bebas cukai dalam SFZ dan merangkumi dua kawasan – Pulau Satu dan Kawasan Daratan dengan masing-masing mempunyai insentif bersyarat yang menyasarkan sektor-sektor tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Fauziah Misri (BN-Penawar) mengenai status dan perkembangan SFZ Forest City pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor di Kota Iskandar di sini, semalam.

Menjelaskan selanjutnya, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata, ada sembilan insentif di Pulau Satu seperti kadar cukai korporat konsesi sebanyak sifar peratus hingga lima peratus berbanding kadar semasa 24 peratus selain menjadi lokasi pertama negara menawarkan kadar cukai 0 peratus untuk Pejabat Keluarga atau Family Offices selama 20 tahun.

Pejabat Keluarga itu merujuk kepada firma pengurusan individu kaya.

Beliau berkata, ada dua insentif bagi Kawasan Daratan iaitu elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus selama lima tahun untuk menolak 100 peratus pendapatan berkanun bagi sektor perkhidmatan logistik dan kadar cukai lima peratus hingga 20 tahun bagi pusat perkhidmatan global serta perkhidmatan pemindahan.

Onn Hafiz berkata, beberapa institusi kewangan tempatan dan antarabangsa serta pemain industri logistik telah menunjukkan minat untuk melabur di SFZ Forest City, termasuk Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, United Overseas Bank (UOB), Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA) dan Tiong Nam Logistics Holdings Bhd.

Menjawab pertanyaan Chiong Sen Sern (PH-Bukit Batu) mengenai strategi memastikan tiada produk tiruan memasuki sektor logistik SFZ Forest City, Onn Hafiz berkata, usaha dirangka termasuk penubuhan kemudahan Kompleks Kastam baharu di Forest City yang dilengkapi teknologi canggih seperti mesin pengimbas bagasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) selain sistem pengenalan wajah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top