rencana@hmetro.com.my
BAGAIKAN di alam fantasi.
Keunikan Hutan Mossy Gunung Brinchang atau Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang sememangnya menggamit ramai penggemar aktiviti mendaki gunung.
Panorama hijau, kawasan berlumut, berkabus dan suhu yang dingin antara faktor mengapa hutan semula jadi itu menjadi pilihan ramai saban tahun.
Untuk pengetahuan, Mossy Forest adalah pintu masuk ke laluan mendaki Gunung Irau.
Penulis baru-baru ini berkesempatan menyertai ekspedisi pendakian ke Gunung Irau bersama 39 lagi wanita dari seluruh negara.
Ekspedisi anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Belia Sukan Negeri serta disokong Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia.
Ia adalah salah satu daripada siri Cabaran Wanita Waja peringkat kebangsaan.
Ekspedisi itu turut memperkasakan pembangunan sukan dalam kalangan wanita dan mengangkat gaya hidup rakan muda.
Perjalanan kami bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui ladang teh dan sayur menuju Taman Eko Rimba Mossy Forest.
Dari situ, peserta diberikan taklimat keselamatan oleh malim gunung dan membuat senaman regangan sebelum memulakan pendakian tepat jam 9.30 pagi.
Kami melalui laluan bertangga atau ‘boardwalk’ sepanjang 600 meter (m).
Menariknya, laluan itu turut dilengkapi dengan sebuah menara pandang yang dipasang dengan konduktor kilat untuk mengelakkan panahan petir.
Selain itu, terdapat pemandangan. Sepanjang pendakian pada pagi itu ditemani kabus tebal membuatkan kami berasa seolah-olah berada di alam fantasi.
Ia tidak menghairankan kerana keindahan hutan ini termasuk dalam senarai Lonely Planet sebagai salah satu daripada lima ‘Most Instagrammable Forests in The World.’
Dengan ketinggian 2,110m dari aras laut, Gunung Irau adalah gunung ke-11 tertinggi di Semenanjung dan ke-15 tertinggi di Malaysia.
Ia dikelilingi Hutan Dipterokarp Atas dan Hutan Montane (hutan tanah tinggi) serta menyajikan pelbagai flora dan fauna yang menarik dan pemandangan menakjubkan untuk santapan mata.
Bagi memelihara ekosistem di laluan pendakian, Pejabat Hutan mengehadkan pengeluaran kepada hanya 100 permit setiap hari.
Malah, dalam setahun Mossy Forest juga akan ditutup dalam beberapa bulan untuk kerja penyelenggaraan serta memberi ruang kepada proses pemuliharaan hutan.
Dalam pada itu, walaupun Gunung Irau terkenal sebagai destinasi popular bagi pendaki pemula kerana trek pendakiannya tidak teknikal, ia tetap menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki.
Laluannya tidak boleh dianggap mudah kerana trek pendakiannya sentiasa basah diliputi lumut selain ada laluan berakar serta tanah lumpur hitam.
Penulis teruja kerana pihak berkaitan turut memasang kemudahan tali dan tangga di laluan berisiko.
Selain itu, rata-rata pendaki yang sudah berkunjung ke Gunung Irau pasti pasti tidak melupakan pengalaman
‘membajak.’
Ia adalah perumpamaan yang digunakan dalam kalangan pendaki untuk memberi gambaran pengalaman mereka mengharung lumpur dan selut hitam, bak petani yang sedang membajak di kawasan sawah.
Selepas beberapa ketika berhenti melepas penat dan merakam gambar kenangan, penulis serta beberapa pendaki lain tiba di puncak pada jam 12 tengah hari.
Panorama indah dan suhu dingin sedikit sebanyak menghilangkan rasa lelah beberapa jam mendaki.
Sementara itu, ekspedisi kali ini adalah kali keempat penulis berjaya sampai ke puncak Gunung Irau (tiga kali melalui Mossy Forest dan sekali melalui trek laluan Trans Jerging).
Namun, keunikan landskap hutan dan cabaran tersendiri di sepanjang laluan itu membuatkan penulis atau mana-mana pendaki lain pasti berazam untuk kembali semula.
Walaupun destinasi sama, tetapi penulis berpeluang mempelajari dan mengalami pengalaman berbeza dalam setiap pendakian.
Selain mendapat kenalan baharu dalam kalangan penggiat rekreasi wanita dari serata Malaysia, penulis juga berpeluang berekreasi dan menambah ilmu berkaitan alam.
Ia juga secara tidak langsung dapat memperbaiki dan memperkuatkan hubungan penulis dengan Sang Pencipta.
Oh ya, sempena sambutan Hari Malaysia pada September lalu, penulis turut mengenakan persalinan baju kurung bagi menzahirkan semangat patriotisme selain penyebaran dakwah melalui pakaian dan perbuatan (dakwah bil hal) yang selama ini menjadi misi penulis dalam arena sukan lasak.
Selepas berehat melepas lelah seketika dan merakam gambar kenangan, semua peserta menyambung perjalanan turun.
Cuaca mendung seakan-akan hujan turun membuatkan penulis dan pendaki lain mempercepatkan langkah, tapi penuh berhati-hati.
Tepat jam 3 petang, kumpulan pertama pendaki tiba di Taman Eko Rimba Mossy Forest, manakala kumpulan terakhir tiba pada jam 4.30 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




