Kerajaan negeri teliti dakwaan peneroka tanah diusahakan jadi hutan simpan

Kerajaan negeri teliti dakwaan peneroka tanah diusahakan jadi hutan simpan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerajaan negeri akan meneliti isu lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua Musang yang mendakwa tanah diusahakan sejak hampir 20 tahun lalu akan dijadikan kawasan hutan simpan.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya baru menerima maklumat itu dan sudah meminta agensi berkaitan untuk menguruskannya segera.

“Saya sudah minta Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian untuk teliti perkara itu dan insya-Allah akan selesai dalam masa yang singkat.

“Kita ‘check’ betul atau tidak benda itu berlaku kerana kita baru dapat maklumat, jadi minta jabatan berkaitan untuk selesai perkara berkenaan.

“Soal peneroka pergi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu soal lain, hal dia tapi kerajaan negeri akan selesaikan,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Seramai 1,494 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan.

Media sebelum ini melaporkan peneroka terbabit dimaklumkan tanah berkenaan adalah milik kerajaan dan boleh diusahakan penduduk serta dibuat geran hak milik namun mereka kemudian meluahkan rasa kecewa apabila tanah terbabit disita oleh Pejabat Perhutanan, Isnin lalu.

Difahamkan ada penduduk memperoleh geran selain terdapat dua syarikat membuka ladang di kawasan itu dan sudah beberapa kali menuai hasil.

Tanah itu mula diusahakan penduduk sejak 2008 dengan menanam kelapa sawit dan getah yang kini menjadi sumber pendapatan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top