Kuala Lumpur: Meskipun terpaksa bekerja sebagai tukang cuci motel dan menjual kuih pada hujung minggu, ia tidak menghalang anak tempatan melakar sejarah sebagai pengamal undang-undang bertauliah di New Zealand.
Kisah kejayaan Nur Zahirah Khairudin, 25, tular di media sosial selepas beliau secara rasmi mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand baru-baru ini.
Nur Zahirah yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berjaya menggenggam ijazah berkembar dalam bidang Undang-Undang dan Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Kebudayaan Jepun serta Linguistik) daripada University of Canterbury, Christchurch.
Paling membanggakan, beliau kini bukan saja bakal memulakan kerjaya di sebuah firma guaman di Auckland, malah menjadi antara wanita Muslim berhijab dari Malaysia yang berjaya menembusi industri perundangan di negara itu.
Mengimbas kembali titik awal perjalanannya, Nur Zahirah mengakui minat mendalam terhadap bidang perundangan mula berputik sewaktu bersekolah di Malaysia.
”Ketika di sekolah menengah, saya menyertai sesi debat bahasa Inggeris dan dari situ saya sedar minat memang cenderung ke arah guaman.
”Didorong dengan personaliti yang suka membaca dan menyiasat, saya bertekad melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum mengikut ibu bapanya, Khairudin Mohamed dan Zarita Abdul Razak bersama keluarga berhijrah ke New Zealand lapan tahun lalu.
Berbeza dengan majoriti penuntut tajaan lain, Nur Zahirah melanjutkan pengajian menggunakan bantuan pinjaman pelajar berbekalkan status penduduk tetap (PR).
Bagaimanapun, laluan untuk Nur Zahirah bukan mudah kerana perlu menampung kos sara hidup dan menuntut ilmu, menyebabkan beliau terpaksa bekerja bagi menambah pendapatan.
“Hujung minggu dipenuhi dengan jadual padat membantu keluarga membuat dan menjual kuih-muih, selain bekerja sambilan melakukan kerja pembersihan di motel.
“Pada masa sama, saya perlu menumpukan masa sepenuhnya untuk kuliah, tugasan akademik dan persediaan peperiksaan kelayakan peguam.
”Bukan mudah untuk membahagikan masa antara kerja fizikal dan tuntutan akademik yang amat padat hingga saya pernah mengalami fasa keletihan melampau.
”Namun, saya berpegang pada satu prinsip bahawa tiada laluan mudah untuk berjaya tanpa usaha sendiri,” katanya.
Nur Zahirah berkata, ketiadaan keistimewaan dengan latar belakang keluarga yang sederhana tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai cita-cita di bumi asing, sebaliknya disiplin tinggi, nilai asas keluarga serta pegangan agama menjadi sumber kekuatan utama.
”Saya hanya ada ilmu, usaha, doa dan pengorbanan mak ayah yang sentiasa yakin pendidikan mampu mengubah nasib keluarga.
“Apatah lagi berada di bumi asing, saya perlu bekerja keras dan lebih kuat daripada penduduk asal untuk mendapat kelebihan.
”Saya juga tidak lupa dengan tunjuk ajar ibu bapa yang sentiasa terapkan nilai seperti mengutamakan solat berjemaah dan kekal rendah hati sepanjang menempuh pengajian enam tahun di sini,” katanya.
Kejayaan Nur Zahirah menjadi bualan hangat dan meraih pelbagai pujian daripada netizen yang kagum dengan ketabahan beliau.
Bakal menumpukan pengkhususan dalam bidang undang-undang keluarga, koroner dan imigresen, Nur Zahirah membuktikan status bekas pekerja pembersihan langsung tidak menyekat cita-cita untuk menjadi pengamal undang-undang berkaliber di persada antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd

