Muhyiddin Yassin bebas pertuduhan guna kedudukan untuk suapan RM200 juta, pengubahan wang haram

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas pihak pendakwaan memohon supaya satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama terhadap Presiden BERSATU itu tidak diteruskan.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib untuk tidak meneruskan kes itu dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” katanya.

Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi BERSATU daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top