Keluarga dakwa kadet palapes UiTM dibiar terbaring tanpa bantuan

Keluarga dakwa kadet palapes UiTM dibiar terbaring tanpa bantuan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keluarga Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi mendakwa mangsa dibiarkan terbaring di atas padang kawad tanpa bantuan kira-kira 30 minit sebelum dibawa ke hospital.

Ibunya, Azwati Muhammed Ghalip, 52, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh beberapa saksi yang berada di lokasi pada hari kejadian iaitu 10 November lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga berharap siasatan telus dan komprehensif dijalankan oleh pihak polis bagi menuntut keadilan buat Allahyarham yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM.

“Kalau kata dia (jurulatih) nak tolong, dalam UiTM itu sendiri ada ambulans sebab adik (mangsa) pun belajar di tempat sama, dia boleh terus minta bantuan (paramedik).

“Dia (jurulatih) dah nampak anak pengsan kenapa dibiarkan begitu sahaja? Patut panggil ambulans, sekurang-kurangnya boleh beri rawatan awal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat peguam, di sini, hari ini.

Azwati berkata, anak sulung daripada empat beradik itu memang meminati bidang ketenteraan terutama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana minat mendalam dalam dunia penerbangan.

Katanya, Muhammad Amir Rusyaidi yang disahkan meninggal dunia akibat strok haba sudah biasa menyertai aktiviti fizikal dan kawad kaki sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, pada peringkat awal, mereka sekeluarga tidak membuat laporan polis kerana menganggap pemergian Allahyarham akibat strok haba.

“Saya ada tanya dengan doktor berkenaan kesan lebam (pada kedua-dua lutut) tetapi saya dimaklumkan mungkin terjadi akibat buat aktiviti lasak, dan mereka (doktor) fokus kepada strok haba.

“Jadi kami pun memang sangka strok habalah (punca kematian). Tidak ada lah fikir dia kena buli atau apa-apa macam itu tetapi kesan lebam itu memang ada.

“Pada malam hari kejadian dia (jurulatih) ada berhubung dengan keluarga di hospital dan dia kata anak saya tiba-tiba pengsan semasa latihan,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya mengetahui perihal mangsa didera secara fizikal oleh jurulatih terbabit selepas dimaklumkan oleh pelatih Palapes yang hadir ke majlis tahlil di rumah, 13 November lalu.

Katanya, saksi mendakwa melihat jurulatih terbabit ‘menunggang’ belakang badan mangsa selepas mangsa gagal membuat senaman tekan tubi.

“Saya dimaklumkan dia (mangsa) dah merangkak, bermakna dia sudah tak larat lah kan dan jurulatih itu cakap ‘kau boleh buat tak, kau nak jadi kuda? kalau nak jadi kuda bawa aku ke sana, aku naik atas kau’.

“Sebab jurulatih itu nampak keadaan anak saya merangkak jadi dia naik atas, berapa jauh saya tidak pasti kerana saksi kata ketika itu mereka juga ada aktiviti lain,” katanya.

Mengulas mengenai keperibadian Allahyarham, Azwati berkata, Muhammad Amir seorang yang baik hati dan disenangi rakan-rakan, malah gemar memasak di rumah dan ringan tulang membantunya di dapur.

“Kalau tengok hantaran di Instagram, saya sedih melihat ramai kawan-kawan dia puji dia, kata dia baik, puji dia selalu belanja makan dan lain-lain.

“Dia memang baik dan bertanggungjawab sebab dia anak sulung. Semasa saya ke umrah tahun lalu pun dia yang masak untuk adik-adiknya, mereka memang rapat terutama dengan adiknya yang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata, dakwaan berhubung mangsa ‘ditunggang’ oleh jurulatih dibuat berdasarkan andaian.

“Beberapa saksi yang berada di lokasi ketika kejadian mendakwa ia tidak berlaku (seperti didakwa) bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecuaian ataupun elemen lain dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis memanggil 25 individu untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top